'Sekiranya menjadi sipemakainya biasanya kebal dan.....'

RAHSIA SELENDANG MERAH

Bak kata orang dahulukala 'lelaki kalau berbaju melayu tapi tidak bersamping janggal rupanya adapun perempuan yang berkebaya tapi tidak berselendang hilang manisnya.

Selendang merupakan sejenis pakaian perhiasan wanita yang selalunya dipakai dibahagian bahu kiri atau kanan. Sebagai perhiasan bagi menambahkan kejelitaan wanita yang memakainya, selendang juga berfungsi sebagai senjata sulit yang amat besar kegunaannya.


Tetapi ramai yang tidak menyedari akan hakikat ini malah walaupun selendang masih dipakai oleh wanita di zaman kini ia tidak lebih dari sebagai perhiasan sahaja. Justeru itu jadilah seperti kata pepatah 'seperti sikudung mendapat cincin' walaupun mendapat sesuatu yang amat tinggi nilainya tetapi tidak tahu akan kegunaannya. Sedangkan wanita dahulukala boleh menjadikan selendangnya sebagai senjata atau perisai diri jika ada manusia durjana yang berniat jahat.


Malah bagi wanita yang berilmu tinggi, selendang itu dapat dipelbagaikan kegunaannya sepertimana Puteri Gunung Ledang berupaya terbang dari satu tempat ke suatu tempat yang lain hanya dengan menggunakan selendang yang diberi nama "Selendang Mayang'. Anehnya selendang tersebut boleh berubah-ubah menjadi tongkat, parang, tali dan adakalanya menjelma menjadi ular.


Di dalam dunia persilatan, selendang sememangnya menjadi idaman serta buruan pahlawan dan pendekar handalan. Bahkan, dikala ini peringkat selendang dijadikan sebagai peringkat tertinggi di dalam sesuatu perguruan silat. Namun begitu, keistimewaan selendang ini biasanya tidak dikhabarkan kepada pesilat di awal pelajaran kerana sememangnya ia dirahsiakan. Cuma bagi pesilat yang dipercayai akan diakui akan keikhlasan, kejujuran,ketaatan dan kependekarannya sahaja yang akan diijazahkan untuk memiliki serta mewarisi ilmu selendang tersebut.

Memandangkan keistimewaan dan kesaktiannya yang luar biasa maka cara membuatnya juga memerlukan kepakaran dan mesti mematuhi beberapa syarat tertentu.



Berdasarkan cerita orang tua-tua, sebelum membuat sehelai selendang seseorang itu dikehendaki membersihkan diri dengan berpuasa selama sekurang-kurangnya tujuh hari dalam bulan Muharam. Disamping menulis beberapa potong ayat Al Quran pada permukaan dan disekelilingnya juga dihiasi dengan beberapa lukisan senjata Melayu lama seperti pedang, panah, lembing dan buluh rencong.


Diantara keistimewaannya, selendang ini boleh menukarkan pandangan musuh terhadap sipemakainya. Hal ini bergantung kepada niat si pemakai yang mana sekiranya diniatkan dirinya besar maka musuh akan melihat lawannya besar dan tinggi. Jika musuh itu menggunakan senjata api maka mereka akan menghalakan tembakannya ke atas. Selain dari itu si pemakai boleh menjadikan bilangan dirinya lebih daripada satu terhadap pandangan musuh.


Selendang ini dikatakan berupaya 'mengambil isi batin' seseorang seandainya berhadapan dengan musuh yang mengamalkan ilmu sihir atau ilmu hitam. Sejenis lagi selendang merah yang tidak mempunyai sebarang tulisan ayat-ayat Al Quran di atasnya malah ia hanya berfungsi di waktu peperangan sahaja. Semasa suasana negara aman, selendang ini tidak berfungsi bahkan setaraf seperti kain biasa. Dalam ertikata lain ia hanya selendang bersifat "'sementara"' kerana selepas tamat peperangan 'Kesaktiannya" akan hilang.


Bagi pengamal ilmu selendang merah, bila bercerita mengenai hal-hal sebegini mereka akan terhidu bau-bauan yang harum secara tiba-tiba, hingga boleh menaikkan bulu roma.



Hasil Pena: Laila Sari


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

No. 6-1, Jalan 5A/6
Taman Setapak Indah 

53300 Kuala Lumpur

Tel      :  018-4044471
EMail : majalahsb@gmail.com

  • Facebook Social Icon
  • Google+ Social Icon

Website © 2020 oleh Akademi Wangsa