KERAMBIT - Yang Sulit & Rahsia


Kerambit sudah diketahui dunia bahawa senjata itu berasal dari alam Melayu. Ia senjata rahsia atau juga disebut, '"sulit", kejam dan bertindak tanpa belas perikemanusiaan. Bila masa ia berada digenggaman, tidak pula diketahui oleh lawan. Ini rahsia atau sulitnya ilmu kerambit. Sedar-sedar 'mangsa' kerambit merasakan kesakitan yang teramat sangat kerana tindakan kerambit.

Kerambit atau kurambi juga dikenali sebagai lawi ayam, kuku ayam atau rambai ayam. Senjata kecil yang berupa seperti sehelai bulu ayam jantan yang terdapat pada ekornya. Berkeadaan melentik dan tirus dihujungnya. Nama senjata ini juga dipercayai mengambil nama dari taji atau lawi ayam sebab bentuk dan cara digunakan juga hampir serupa.


KERABIT - KENALINYA

Kerambit pada kebiasannya berhulukan daripada kayu atau tanduk yang terdapat lubang sebesar jari tangan. Di bahagian pangkalnya disimpaikan dengan rotan atau logam, agar mengukuhkan lagi ikatan hulu tersebut. Saiz hulu adalah sepanjang 8sm dan mata diantara 6sm dan 8sm,

Cara menggunakannya adalah dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam gelang yang terdapat pada hulunya dan dibahagian matanya yang tajam meruncing itu akan terkeluar dari genggaman di bahagian kelingking. Tikaman dibuat dengan mengaritkan mata pada objek secara tumbukan yang tidak tepat kesasarannya, atau secara rautan.


BENTUK RUPA

Pemegang kerambit ada diperbuat dari kayu keras dan tanduk kerbau. Ada juga kerambit dari pemegang hingga ke mata dari kayu didakwa berbisa atau kayu penawar bisa seperti kayu nibong. Sungguhpun begitu ada dari besi dari hujung ke pangkal. Pada pangkal kerambit, ditebuk lubang untuk jari-jari tertentu memasukinya.Manakala mata pula turut pelbagai, yang penting ia berbisa. Ada menggunakan kuku harimau dan ada juga mata keris kerana semua itu dipercayai memperolehi bisa yang kuat. Jika tidak, mata dibuat dari besi dan diasah tajam.

Mata kerambit tajam hujung dan depan-belakang. Ia dihunus keluar ke depan seperti rupa mata pancing namun tidak ketara ke depan. Kalau menggunakan kuku harimau, ia akan diasah untuk ketajaman. Kuku itu akan dilekat dengan rapi termasuk diikat sempurna supaya tidak janggal dari pemegang. Pandai ampu yang membuat kerambit akan menggunakan mata keris sebagai mata kerambit supaya bisanya senjata Melayu kekal.

Lubang yang dibuat pada pangkal pemegang untuk memudahkan ia disorok dan dikeluarkan oleh wanita termasuk golongan lelaki juga.

Berbeza sedikit dari lawi ayam yang tidak boleh dibuat dari kuku harimau, ia lebih besar iaitu seganda.


DISEMBUNYI

Tempat persembunyian kerambit kalau wanita dijadikan ikatan rambut adan ada juga dalam rambut yang ikal mayang. Ada dicelah kain atas atau kain bawah, Ada juga disorok dalam selendang ikatan atau lilitan pinggang. Lelaki juga begitu, disorok dalam baju atau pinggang.


Kesimpulannya, ia bergantung kepada kreativiti pemilik dengan apa strategi yang ada atau hendak dipakai bila terpaksa mengeluarkan kerambit. Kerambit pula dibuat dengan warna gelap termasuk mata, maka mudah senjata kecil itu disorok.

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

No. 6-1, Jalan 5A/6
Taman Setapak Indah 

53300 Kuala Lumpur

Tel      :  018-4044471
EMail : majalahsb@gmail.com

  • Facebook Social Icon
  • Google+ Social Icon

Website © 2020 oleh Akademi Wangsa