April 20, 2017

March 31, 2017

March 17, 2017

Please reload

Recent Posts

Majalah SB April 2017

March 31, 2017

1/5
Please reload

Featured Posts

Datuk Bahaman (Siri 8)

March 9, 2017

RAMPAS KUCING DARI MULUT HARIMAU

 

Nama Mat Kilau diberikan oleh kerana kelincahannya. Begitu juga nama Tok Gajah muncul sewaktu Tok Gajah bersama sahabat-sahabatnya dikepung pihak penjajah, mereka hanya makan pucuk-pucuk kayu dan batang pisang sahaja. Ia seolah-olah makanan tersebut layak untuk makanan gajah sahaja. Aki Mat Kilau banyak keganjilannya. Aki pernah merampas seekor kucing daripada mulut harimau... 

UNTUK mengorek rahsia Tok Guru Peramu, Chu Salleh mengalih cerita  perihal Mat Kilau. Chu Salleh bersahabat baik dengan Mat Kilau dan pernah menyimpan kain tudung perang Mat Kilau. Persahabatan beliau dengan Mat Kilau ibarat ayah dengan anak. Beliau beranggapan jika Tok Guru Peramu adalah sahabat seperjuangan Mat Kilau tentu dia mengetahui kisah pahlawan Pahang itu.  

 

Tok Guru Peramu seringkali bercerita tentang pahlawan-pahlawan Pahang kepada para pengunjung ke rumahnya.  Beliau juga dapat bercerita tentang peperangan yang berlaku di zaman dahulu termasuk perang di Semantan, Kuala Sungai Parit, Kampung Masjid, Kg. Langgar, Ulu Tembeling, Raub, Jerantut, Bentong dan peristiwa yang berlaku di Pattani, Golok dan Chiengmai di Siam.  

 

Disamping itu beliau sering bertanya masih adakah lagi pokok merbau besar di Lubuk Senggarat dekat Semantan dan pokok bunga tanjung di Seberang Kuala Telang di Kuala Lipis. Mengikut catatan, lokasi tersebut menjadi tempat persembunyian pahlawan-pahlawan Pahang sewaktu menentang Inggeris dahulu. Jadi untuk menjawab pertanyaan Chu Salleh tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada Tok Guru Peramu.

 

 “Mat Kilau orangnya sangat pantas. Pantasnya ibarat pelepah nyiur jatuh, sebelum mencecah tanah beliau parasnya dulu di udara. Beliau juga boleh pergi ke sesuatu tempat dengan cepat. Itulah kelebihan dia,” kata Tok Guru Peramu.  

 

Chu Salleh sudah nampak akan kemesraan Tok Guru Peramu. Tok Guru Peramu sudi melayan setiap pertanyaan beliau. Beliau rasakan inilah peluang keemasan untuk  bertanya identiti sebenar Tok Guru Peramu. Walaupun terasa amat berat tetapi beliau ingin mendapatkan kepastian. Beliau rela dimarahi asalkan dapat menerima segala kebenaran.  Beliau tidak mahu hanya hati berteka teki. Di dalam hati berprasangka Tok Guru Peramu itu adalah Datuk Bahaman. Berkemungkinan Tok Guru Peramu hanyalah orang tua biasa dan bukanlah Datuk Bahaman seperti yang diwar- warkan.

 

Pertanyaan Chu Salleh dijawab oleh Tok Guru Peramu; “Akulah Raja Sulaiman……..!” sambil ketawa menjeling Chu Salleh. Setelah berdiam diri seketika dan bersuara seakan berbisik, Tok Guru Peramu menyambung, “Akulah sebenarnya Tok Bahaman…….! Tapi habis di sini saja. Ini bukan zaman aku lagi…….”

 

Seluruh tubuh Chu Salleh mengeletar bagai menerima satu berita yang amat mengemparkan. Beliau sedar sekarang beliau berhadapan dengan seorang pahlawan terbilang yang tiada tolok bandingnya. Sambil menitiskan air mata gembira beliau memeluk erat tubuh Tok Guru Peramu. Beliau tidak menyangka akan bertemu dengan seorang tokoh yang namanya dikisahkan dalam sejarah tanahair.

 

 

Jarak antara zaman Datuk Bahaman dan Chu Salleh amat jauh bezanya. Ia tidak memungkinkan pertemuan ini terjadi. Tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Bagi memegang amanah Tok Guru Peramu, Chu Salleh menyimpan rahsia ini sehinggalah Tok Guru Peramu kembali kerahmatullah.  

 

Pada 26 Disember 1969, Mat Siam telah membuat pengakuan di Masjid Pulau Tawar, Jerantut bahawa beliaulah sebenarnya Mat Kilau anak Imam Perang Rasu Tok Gajah yang berjuang menentang Inggeris di Pahang dari tahun 1891 hingga 1895. Pengakuan itu telah mengemparkan seluruh masyarakat dan menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar. Orang-orang Melayu amat berbangga kerana seorang pahlawan Melayu terbilang masih hidup. 

 

Tetapi tidak bagi Tok Guru Peramu. Beliau amat tidak senang dengan pengakuan Mat Kilau itu. Beliau kecewa kerana Mat Kilau mengisytiharkan dirinya di khalayak ramai. Beliau berkata; “Agaknya orang di hulu dah nak mati!” 

 

Menurut Mohd Alhamadi bin Hj Abu Bakar, cucu Mat Kilau (gambar bersama keris Mat Kilau dan tempayan tempat sorokkan keris), nama Mat Kilau diberikan oleh kerana kelincahannya.  Begitu juga nama Tok Gajah muncul sewaktu Tok Gajah bersama sahabat- sahabatnya dikepung pihak penjajah, mereka hanya makan pucuk-pucuk kayu dan batang pisang sahaja. Ia seolah-olah makanan tersebut layak untuk makanan gajah sahaja.   

 

“Aki Mat Kilau banyak keganjilannya.  Aki pernah merampas seekor kucing daripada mulut harimau. Harimau itu ditengkingnya, terus harimau itu lari ke dalam hutan. Seekor lembu terjatuh ke dalam telaga, Aki naikkan lembu itu dengan tenaganya. Ilmu-ilmu perdukunan yang diamalkan oleh bomoh-bomoh di Batu 5, Kuantan tidak menjadi dan tidak berkesan disebabkan Mat Kilau berada di situ,” terang Mohd Alhamadi.

 

 

Keris peninggalan Mat Kilau dalam simpanan beliau adalah sebagai pengenalan diri Mat Kilau. Apabila Mat Kilau balik semula ke Pahang, keris tersebut tidak disimpan di tangan, sebaliknya beliau letak di dalam tempayan dan ditanam dalam tanah berhampiran rumah di Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan.  Keris ini pernah beliau gunakan sewaktu mengamuk dan membunuh askar-askar di pihak Inggeris.  

 

“Aki Mat Kilau jenis orang pendiam, tak banyak cakap. Aki suka menyendiri dan kurang bergaul dengan orang ramai. Aki buat kerja sendiri untuk mencari nafkah dan tak pernah minta orang lain tolong.

 

“Bila ayah bersama Aki pergi ke bandar Kuantan, Aki selalu minta ayah balik dulu. Aki kata nak jumpa kawan lama. Siapa lagi kawannya kalau bukan Tok Guru Peramu. Yang hairannya bila ayah sampai ke rumah, Aki dah ada kat situ. Aki juga pernah berpesan kepada ayah, jika dia mati dia minta ayah pergi tengok Tok Guru Peramu. Katanya Tok Guru Peramu adalah Tok Bahaman,” jelas Mohd Alhamadi lagi.

 

Abdul Rahman bin Jaafar, 77 @ Ayah Ngah Rahman, bapa saudara kepada Prof. Dr. Azlan Ghanie, penerbit majalah Seni Beladiri pernah bertemu Tok Guru Peramu di sekitar tahun 1970’an. Beliau menemui Tok Guru Peramu ada sebabnya. Beliau berkata bukannya mudah untuk bertemu dengan orang tua tersebut. Jika ada yang tidak kena, para pengunjung ke rumahnya akan dijerkah dan dimarahinya. Walaupun sudah tua dan uzur tetapi Tok Guru Peramu tidak boleh dilayan sembarangan.

 

Ciri-ciri kepahlawanan ada pada diri beliau yang membuatkan para pengunjung tidak berani membuat onar. Pernah ada pengunjung yang dimarahinya kerana pengunjung itu bersungut di dalam hati kerana agak lama menunggu giliran untuk mendapatkan air penawar. Tok Guru Peramu dapat mengetahuinya dan berkata kalau nak cepat pergilah cari perawat lain.

 

“Nenek Ayah Ngah bernama Hawa pernah memberitahu bahawa Datuk Bahaman masih hidup. Dia minta Ayah Ngah mencari pahlawan terbilang itu. Nenek turut menyerah sebilah badik sebagai tanda pengenalan jika bertemu Datuk Bahaman. Nenek berkata jika benar orang itu Datuk Bahaman, dia akan tahu nama badik ini sambil memberitahu nama badik tersebut kepada Ayah Ngah,” ungkap Ayah Ngah Rahman.

 

Untuk menghadap Tok Guru Peramu, Ayah Ngah Rahman kena cekalkan hati.  Apatah lagi untuk mengorek rahsia orang tua ini bukannya satu tugas yang mudah. Silap-silap haribulan kena jerkah dan dimarahi pula.    

 

Setelah benar-benar bersedia, Ayah Ngah Rahman pergi ke pondok Tok Guru Peramu. Tugas besar yang beliau bawa adalah atas amanah nenek beliau.  Nenek beliau sudah pun meninggal dunia kerana tidak berkesempatan untuk mencari orang yang dicari selama ini. 

 

Apabila bersua dengan Tok Guru Peramu, Ayah Ngah Rahman disambut dan dilayan dengan baik. Di waktu itu nasib beliau agak baik kerana tiada pengunjung di situ. Tok Guru Peramu menyuruh Ayah Ngah Rahman pergi ke dapur untuk menjerang air. Sambil berbual sambil minum-minum.

 

“Ayah Ngah tengok kat dapur tak ada kayu api.  Ayah Ngah tanya beliau nak masak air dengan apa. Beliau suruh Ayah Ngah bakar saja kertas yang ada kat situ. Rasa pelik juga tetapi Ayah Ngah ikutkan saja. Selang tidak beberapa lama air yang dijerang mendidih. Hairan sungguh!” terang Ayah Ngah Rahman.

 

Sambil berbual-bual Ayah Ngah Rahman keluarkan badik yang dibawanya. Beliau menunjukkan badik itu kepada Tok Guru Peramu. Sebaik sahaja melihat badik itu, Tok Guru Peramu mengambilnya lantas mencabutnya dari sarung lantas menciumnya sambil berkata, “Ya hamba ingat, ini memang badik hamba.” Dia meletakkan badik itu di bawah pehanya dan bertanya dari mana Ayah Ngah Rahman mendapat badik itu.

 

 “Ayah Ngah beritahu cerita sebenarnya. Tok Guru Peramu hanya mendiamkan diri. Beliau mengajak Ayah Ngah makan dan minum terlebih dahulu. Selepas itu barulah beliau beritahu badik itu bernama Khairulzaman. Ia sama seperti apa yang nenek beritahu sebelum ini,” akui Ayah Ngah Rahman. 

 

“Mu tak boleh ambil badik ini, dia bukan hakmu.  Hamba beri pada nenekmu. Kalau mu nak semula, mu kena tebus dengan duit dua puluh satu sen,” kata Tok Guru Peramu.

 

Sahlah bahawa orang yang berada di hadapan Ayah Ngah Rahman adalah seorang pahlawan tersohor. Jika bukan Datuk Bahaman sudah pasti orang tua itu tidak mengetahui sejarah badik tersebut. Betullah seperti percakapan orang bahawa Tok Guru Peramu itu sebenarnya adalah Datuk Bahaman. 

 

“Badik itu dihadiahkan oleh Datuk Bahaman kepada nenek yang ketika itu menggunakan gelaran Yang Esah. Ia berlaku sewaktu awal perkenalan mereka semasa di Kuala Lipis sebelum meletusnya perang menentang Inggeris.  Datuk Bahaman menaruh hati terhadap nenek tetapi jodoh mereka tidak kesampaian,” jelas Ayah Ngah Rahman.    

 

Perbualan Ayah Ngah Rahman dengan Tok Guru Peramu makin bertambah rancak setelah terdapat ikatan diantara mereka. Percakapan Tok Guru Peramu banyak berkias. Hanya orang cerdik pandai sahaja dapat menghuraikannya. 

 

“Tak semua orang tahu dan tak semua orang tak tahu. Negeri mu ini suatu masa nanti akan menjadi tempat orang belajar.  Ramai orang akan datang mencari ilmu di sini,” beritahu Tok Guru Peramu.

 

Ulas Ayah Ngah Rahman, “Sesuatu ilmu bukan semua orang mengetahuinya tetapi apabila belajar semua orang akan mengetahuinya. Di Pahang sekarang banyak terdapat universiti dan kolej pengajian tinggi. Ramai orang datang belajar ke sini. Betul seperti apa yang diberitahu oleh Tok Guru Peramu.

 

Ayah Ngah Rahman amat berpuas hati kerana hajatnya telah kesampaian. Yang paling penting, beliau dapat mengetahui siapa sebenarnya Tok Guru Peramu.  Tetapi ianya bukan untuk hebahan.  Ia rahsia yang harus beliau pegang.  Keesokkannya Ayah Ngah Rahman mengunjungi Tok Guru Peramu semula untuk menebus balik badik daripada beliau.

 

 Penulis bersama Ayah Ngah Rahman

 

 

BERSAMBUNG.....