April 20, 2017

March 31, 2017

March 17, 2017

Please reload

Recent Posts

Majalah SB April 2017

March 31, 2017

1/5
Please reload

Featured Posts

Datuk Bahaman (Siri 7)

March 7, 2017

AMALAN PETUA HARI

 

“Mu ada bawa pensil? Kalau mu nak jadi orang, mu tulis benda ni. Orang dulu pakai benda ni. Ia dinamakan petua hari. Dalam seminggu hingga sebulan ada hari-hari tertentu. Ada hari dijadikan manusia, ada hari dijadikan binatang, ada hari dijadikan besi dan ada hari dijadikan padi”

PADA peringkat awal, penduduk kampung tidak memberi perhatian terhadap Tok Guru Peramu. Beliau diibaratkan sebagai seorang tua yang tiada berkeluarga dan menumpang di kampung tersebut.Namun setelah mengenali beliau dengan lebih dekat, barulah mereka mengetahui Tok Guru Peramu bukannya seperti apa yang mereka sangkakan selama ini. Rahsia Tok Guru Peramu terserlah apabila berlaku peristiwa-peristiwa ganjil yang mereka saksikan sendiri. Mereka mula mengkagumi Tok Guru Peramu dan mengatakan beliau bukan orang sembarangan.

 

 Mereka mempercayai Tok Guru Peramu adalah seorang ulama besar, guru agama, orang keramat, bomoh  ataupun mungkin sahabat baik Datuk Bahaman. Orang ramai sering bertandang untuk mendapatkan air penawar daripada beliau sama ada untuk menyembuhkan penyakit tertentu, sebagai penerang hati, rasukan makhluk halus, angkara sihir dan sebagainya.Mereka berpuas hati kerana hajat mereka ditunaikan.

 

Mereka berpuas hati kerana penyakit- penyakit yang dihidapi sembuh dengan izin Allah SWT. Dari hari ke hari hubungan mereka dengan Tok Guru Peramu bertambah erat. Mereka mula menyayangi Tok Guru Peramu sehinggakan rumah orang tua itu sentiasa dikunjungi orang ramai yang membawa bersama barangan keperluan, makanan dan juga pulut kuning. Tok Guru Peramu menimba air telaga di belakang rumahnya dengan menggunakan raga sahaja. Air tidak sedikit pun menitis keluar. Atap rumah beliau sudah usang dan bocor namun apabila hujan turun air tidak menerjah masuk.   

 

Beliau memasak air dengan menggunakan kertas dan habuk kayu sahaja. Walaupun penduduk kampung tidak pernah melihat beliau membasuh pakaian tetapi pakaian beliau sentiasa bersih dan berbau harum. Beliau juga boleh mengetahui hajat seseorang menemui beliau dan boleh tahu berapa ramai yang akan datang termasuk berapa orang lelaki dan berapa orang wanita.    

 

Sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu, penduduk kampung berpindah berhampiran rumah Tok Guru Peramu.  Mereka takut dengan kekejaman tentera Jepun. Tok Guru Peramu memasang bendera merah di empat penjuru di kawasan beliau dan penduduk kampung. Pihak Jepun tidak pernah memasuki kawasan tersebut dan peluru-peluru yang dilepaskan dari kapal terbang tidak pernah tersasar ke dalam kawasan yang dipagar oleh Tok Guru Peramu itu.

 

 Mat Kilau

 

Kemunculan Tok Guru Peramu amat menggemparkan seperti juga dengan kemunculan Mat Kilau. Para pengkaji sejarah amat berminat untuk menyelidik dengan lebih lanjut akan sejarah orang tua ini. Bukti-bukti dikuatkan lagi dengan berpegang daripada kata-kata Mat Kilau bahawa ketua beliau iaitu Datuk Bahaman masih ada dan tinggal tidak beberapa jauh dari tempat beliau di Kuantan.   Selama tiga tahun pihak kerajaan di bawah Menteri Besar Datuk Hj Abdul Aziz Ahmad dan Datuk Seri Hj Muhamad Jusuh telah menubuhkan jawatankuasa menyiasat terhadap Tok Guru Peramu tetapi menemui jalan buntu.

 

Tok Guru Peramu banyak menyembunyikan rahsia, percakapan beliau pula banyak kiasan, firasat dan sukar difahami. Ia menyukarkan jawatankuasa menyiasat untuk mendapatkan pengakuan daripada Tok Guru Peramu.  Ia tidak semudah penyiasatan yang dilakukan terhadap Mat Kilau. Tetapi sebaliknya kepada anak-anak murid beliau atau kepada alim ulama, beliau mengaku bahawa beliau sebenarnya adalah Datuk Bahaman.

 

Jika beliau adalah Datuk Bahaman, beliau tidak mahu melanggar sumpah yang pernah beliau lafazkan dengan menjunjung al Quran bersama pahlawan- pahlawan Pahang sewaktu berada di Sungai Salan, Pulau Tawar, Jerantut dan ketika berundur di Kg. Bukit Pak Jedih, Tanah Merah, Kelantan. Ia ibarat jika melanggar sumpah umur akan pendek dan berlaku bala bencana kepada beliau.Tok Guru Peramu pernah memarahi Mat Kilau kerana mengisytiharkan dirinya kepada orang ramai. Beliau cukup tidak senang dengan pengakuan Mat Kilau itu kerana bertindak melanggar sumpah yang pernah dilafazkan. Beliau berkata; “Agaknya Mat Kilau itu nak pendek umur.”

 

Apa yang Tok Guru Peramu kata menjadi kenyataan. Setelah Mat Kilau membuat perakuan beliau terus jatuh sakit dan tidak boleh bercakap. Sebelum itu beliau sihat dan tidak nampak langsung keuzurannya. Mat Kilau menghembuskan nafas terakhirnya pada 16 Ogos 1970 di Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan dan dikebumikan di Kg. Pulau Tawar, Jerantut.Rumah Tok Guru Peramu sentiasa dikunjungi orang ramai. Beliau juga banyak bercerita tentang kisah-kisah lama terutamanya sewaktu peperangan pahlawan-pahlawan Pahang menentang Inggeris. Beliau boleh menceritakan satu persatu tentang Perang Saudara di Pahang, Perang Semantan, Perang Kuala Parit, Perang Kuala Tembeling, Perang Lubuk Terua, Perang Jeram Ampai, Perang Lubuk Senggarat, Perang Genting Bidai, Perang Naning, Perang Tanjung Putus di Negeri Sembilan, Perang Saudara di Selangor dan Perang Datuk Maharaja Lela Menentang Inggeris di Perak.

 

Beliau turut bercerita beliau amat rapat dengan pahlawan-pahlawan Pahang yang berjuang menentang Inggeris seperti Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela, Awang Nong, Mamat Kelubi, Teh Ibrahim, Panglima Garang Yusof, Mat Kelantan, Raja Ibrahim, Panglima Hitam Hj Othman @ Radin Damabulan, Batin Kalmak dan Tok Selampit.  Tetapi dalam cerita-cerita beliau tidak pernah disentuh tentang Datuk Bahaman. Ia seolah-olah Datuk Bahaman tidak termasuk dalam senarai pahlawan-pahlawan Pahang menentang Inggeris.

 

Pada 13 November 1974, Menteri Besar Datuk Seri Hj Muhamad Jusuh telah mengeluarkan sepucuk surat rasmi bagi membenarkan Tok Guru Peramu dibawa balik ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan atas permintaan kaum keluarga Tok Guru Peramu di sana. Rombongan daripada Negeri Sembilan mengaku bahawa Tok Guru Peramu adalah datuk mereka.Setelah berita itu sampai ke pengetahuan penduduk Kg Peramu mereka tidak membenarkan Tok Guru Peramu dibawa ke Negeri Sembilan. Mereka tidak berapa yakin dan tidak percaya dengan pengakuan daripada rombongan Negeri Sembilan tersebut.

 

Sewaktu Tok Guru Peramu hendak diambil dengan beberapa buah kereta, tercetus pertengkaran yang hampir melibatkan pergaduhan diantara penduduk Kg. Peramu dengan rombongan daripada Negeri Sembilan. Akhirnya campur tangan pihak polis dapat meredakan keadaan.

 

 Dua hari kemudiannya, Tok Guru Peramu dapat dibawa pulang ke Negeri Sembilan dengan menaiki teksi. Penduduk Kg. Peramu terpaksa merelakan pemergiannya kerana surat kebenaran daripada pihak kerajaan harus dipatuhi. Tok Guru Peramu hanya tinggal di sana selama seminggu dan pulang semula ke Kg. Peramu. Kepulangan beliau disambut seperti seorang wira oleh penduduk Kg. Peramu.  

 

“Tok Guru Peramu tinggal seorang diri. Beliau suka berbaju Melayu, berkain pelikat dan memakai serban.  Bila berkunjung ke rumahnya sudah terhidang kopi panas untuk para tetamu walaupun tiada sesiapa memasaknya di dapur.  Beliau bercakap cara orang lama. Beliau juga banyak bercerita kisah-kisah silam. Bila terlajak bercerita tentang pahlawan-pahlawan Pahang beliau akan menjerkah dan menampar pipinya,” ujar Aki Sahak.

 

Suatu peristiwa, Tok Guru Peramu ingin menumpang sebuah perahu untuk bersolat jumaat di masjid yang terletak di seberang sungai. Disebabkan perahu itu sudah penuh muatannya, beliau meminta pengayuh perahu itu untuk berkayuh dahulu. Pengayuh perahu itu boleh berpatah balik untuk mengambil beliau kemudiannya. Setelah penumpang perahu itu memasuki masjid, beliau amat terperanjat kerana Tok Guru Peramu sudah pun berada di dalam masjid.   

 

Di majlis-majlis kenduri kendara Tok Guru Peramu selalu bertanya kepada tuan rumah siapa yang akan membaca doa. Jika tiada orang, beliau sering diminta untuk membacakan doa.  Selalunya doa yang beliau bacakan amat panjang sekali. Ia seperti membaca surah al Quran yang panjang. Begitulah setiap kali beliau memanjatkan doa kepada Allah SWT.

 

Seorang guru silat, Mat Salleh Tahir @ Chu Salleh (Allahyarham) pernah diberitahu oleh Mat Kilau bahawa Datuk Bahaman masih hidup dan tinggal tidak berapa jauh dari tempat beliau. Berpegang kepada pengakuan Mat Kilau, Chu Salleh bertindak untuk menjejaki Datuk Bahaman bersendirian. Beliau dapat merasakan bahawa Tok Guru Peramu itu sebenarnya adalah Datuk Bahaman. Tidak ada lagi orang- orang tua di Kuantan yang mempunyai sifat-sifat kepahlawanan seperti Tok Guru Peramu itu. Lagipun Tok Guru Peramu sering bercerita mengenai pahlawan-pahlawan Pahang dan ia menguatkan lagi bukti bahawa inilah orang yang beliau cari selama ini.

 

Rumah Tok Guru Peramu sentiasa dipenuhi para pengunjung. Untuk bertemu beliau kena mengikut giliran.  Peluang untuk Chu Salleh bertemu Tok Guru Peramu pada hari itu agak tipis.  Namun beliau sedia menunggu dengan penuh kesabaran.

 

Setelah suasana agak reda dan para pengunjung sudah makin berkurangan,  akhirnya Chu Salleh dapat bertemu Tok Guru Peramu. Setelah bersalaman dan belum pun sempat Chu Salleh berkata- kata, Tok Guru Peramu berkata dia sudah mengetahui hajat kedatangan Chu Salleh.“Tok Guru Peramu berjanggut panjang. Walaupun sudah tua tetapi kulit beliau masih kental seperti orang muda. Beliau selalu bercakap dalam loghat Terengganu dan Pahang,” jelas Chu Salleh.

 

“Mu ada bawa pensil? Kalau mu nak jadi orang, mu tulis benda ni. Orang dulu pakai benda ni. Ia dinamakan petua hari. Dalam seminggu hingga sebulan ada hari-hari tertentu. Ada hari dijadikan manusia, ada hari dijadikan binatang, ada hari dijadikan besi dan ada hari dijadikan padi,” terang Tok Guru Peramu kepada Chu Salleh.

 

“Kalau mu nak jumpa orang besar nak minta sesuatu, ada masanya mu tak dilayan dan mu kena marah pula. Sebenarnya mu tersilap pilih hari. Hari itu sebenarnya hari dijadikan binatang. Itu sebabnya mu kena marah. Kalau mu jumpa dia pada hari dijadikan manusia, mu akan dilayan dengan baik dan akan diberi pertolongan sewajarnya,” jelas Tok Guru Peramu.            

 

 Pusara Tok Guru Peramu di Kuantan

 

Chu Salleh dapat merasakan Tok Guru Peramu bukan orang sembarangan. Beliau rasakan tidak akan berjumpa lagi orang tua macam itu di masa akan datang. Kata-kata Tok Guru Peramu banyak kiasannya, kalau kita mengaji kita akan faham apa yang dimaksudkannya.   

 

Chu Salleh bertambah yakin dan membuat andaian bahawa orang tua di hadapannya bukanlah Tok Guru Peramu tetapi adalah Datuk Bahaman Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Nama Tok Guru Peramu digunakan sebagai samaran sahaja bagi menyembunyikan identiti beliau sebenarnya.

 

 Penulis bersama Allahyarham Aki Sahak

 

BERSAMBUNG.....