April 20, 2017

March 31, 2017

March 17, 2017

Please reload

Recent Posts

Majalah SB April 2017

March 31, 2017

1/5
Please reload

Featured Posts

Datuk Bahaman (Siri 5)

March 3, 2017

AKIBAT INGKAR

 

Datuk Lela DiRaja tidak dapat menahan kesabarannya lantas menetak dahi Mat Kilau dengan sundang di tangannya. Tetakan itu tidak menjejaskan Mat Kilau. Melihatkan keadaan demikian, askar-askar Siam dan Kelantan mengerumuni Mat Kilau dan memulas kepala Mat Kilau sehingga mukanya teralih kebelakang. Mat Kilau dikatakan mati serta merta di tempat kejadian ...

PADA 12 Jun 1894 angkatan perang Datuk Bahaman dan Tok Gajah menyeberangi sempadan Kelantan- Pahang. Mereka dengan pantasnya menghilir Sungai Tembeling. Dua hari selepas itu, sebelum terbitnya fajar angkatan perang Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mamat Kelubi telah menyerang kubu pihak Inggeris di Kuala Tembeling. 

 

Lima daripada sebelas orang askar Sikh yang berkawal di situ telah terbunuh. Manakala selebihnya bertindak melarikan diri. Salah seorang askar Sikh bernama Miru Ram Singh telah dikelar oleh Mat Kilau di seluruh bahagian tubuh badannya. Dia kemudiannya dilepaskan dengan dihanyutkan dengan perahu menghilir Sungai Pahang. 

 

Perbuatan Mat Kilau itu sebagai peringatan kepada pihak Inggeris bahawa pahlawan-pahlawan Pahang tidak teragak-agak akan membunuh sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Inggeris. Setelah dihanyutkan perahu hingga sampai di Pulau Tawar, Miru Ram Singh dalam keadaan cedera parah telah diusung menemui Panglima Garang Yusoh.  

 

Panglima Garang Yusoh telah dilantik oleh Sultan mengambil alih tugas Tok Gajah memegang Pulau Tawar. Miru Ram Singh menceritakan peristiwa yang menimpa diri beliau. Beliau akhirnya dihantar ke Singapura untuk menerima rawatan selanjutnya.

 

Miru Ram Singh bernasib baik kerana masih hidup walaupun mendapat hampir tiga puluh kelaran di merata tubuh badan. Ramai waris Miru Ram Singh  tinggal di bandar Pekan, Pahang.  Penulis pernah bersahabat baik dengan cucu cicit  beliau. Tetapi setelah bangunan-bangunan kedai didirikan di tapak penempatan mereka, mereka kini sudah berpindah ke tempat lain. Waris beliau yang sudah berumur pun ramai yang telah meninggal dunia.  

 

Sewaktu serangan pahlawan- pahlawan Pahang ke Kuala Tembeling, Hugh Clifford tiada di Pahang kerana menjalankan tugas di Pulau Kokos- Keeling. Selepas berjaya menyerang Kuala Tembeling, pahlawan-pahlawan Pahang bergerak menuju ke Pulau Tawar. Hanya Mamat Kelubi dan orang- orangnya masih tinggal mengawasi Kuala Tembeling.

 

Setelah berjaya menawan Kuala Tembeling, angkatan perang pahlawan- pahlawan Pahang telah berpecah kepada beberapa bahagian. Taktik ini dilakukan bagi mengeliru pihak Inggeris agar mereka beranggapan angkatan perang pahlawan-pahlawan Pahang mempunyai anggota yang cukup ramai.

 

Setelah keadaan kembali tenang, Mamat Kelubi dan orang-orangnya dari Sungai Jelai menghilir balik menyusuri Sungai Tembeling. Mereka bertindak untuk menjejaki askar-askar di pihak Inggeris yang cuba menyembunyikan diri. Tetapi sebaliknya mereka telah diintip oleh orang-orang Panglima Garang Yusoh dan Tok Raja yang sudah bersedia menanti untuk menggempur mereka di situ. Mamat Kelubi bersama tujuh orangnya yang berada dalam sebuah perahu telah diserang hendap secara mengejut.

 

Serangan itu menyebabkan sebahagian orang-orang Mamat Kelubi terkorban. Mana yang terselamat telah terjun ke sungai untuk menyelamatkan diri. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam ilmu perang, Mamat Kelubi sudah dapat menghidu sesuatu akan terjadi dan menyuruh orang-orangnya terjun ke dalam sungai.  Serentak dengan itu tembakan telah dilepaskan oleh askar-askar Sikh ke arah orang-orang Mamat Kelubi. Mamat Kelubi dipercayai terkena tembakan terus terjun ke dalam sungai.

 

Orang-orang Panglima Garang Yusoh  menanti Mamat Kelubi tetapi beliau tidak timbul-timbul. Panglima Garang Yusoh beranggapan Mamat Kelubi sudah terbunuh hasil serangan itu.Pasukan di bawah pimpinan Panglima Garang Yusuf segera beredar mencari tempat perlindungan. Mereka bimbang dapat dihidu oleh angkatan perang pahlawan-pahlawan Pahang. Setelah suasana agak reda, Mamat Kelubi muncul di permukaan sungai. Beliau masih hidup dan hanya mendapat kecederaan ringan.

 

Mamat Kelubi bukannya calang- calang orang. Beliau memiliki ilmu boleh menyelam selama beberapa jam di dalam sungai. Akhirnya Mamat Kelubi meninggalkan kawasan tersebut dan bergabung semula dengan pasukan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.Dalam Sejarah Pahang mengatakan Mamat Kelubi terbunuh dalam insiden tersebut. Tetapi dari perbualan Haji Abu Bakar bin Awang (Allahyarham), menantu dan anak murid kesayangan Mat Kilau yang penulis catat sendiri mengatakan Mamat Kelubi terselamat dari serangan tersebut.

 

Haji Abu Bakar menceritakan sewaktu Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, Mamat Kelubi datang menziarahi Mat Kilau di Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan. Mamat Kelubi atau Mat Kelubi adalah anak saudara Tok Gajah dan nama sebenar beliau ialah Awang bin Ahmad.

 

 

Setiap serangan terhadap Inggeris oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mamat Kelubi, Mat Kelantan (gambar), Raja Ibrahim, Panglima Hitam Hj Osman @ Radin Damabulan, Batin Kalmak, Batin Tok Selampit dan para pengikut mereka telah mendapat kemenangan besar. Ramai dikalangan askar-askar di pihak Inggeris tercedera dan terkorban. Hanya sedikit sahaja orang-orang di pihak pahlawan-pahlawan Pahang mendapat kemalangan jiwa.

 

Pahlawan-pahlawan Pahang amat mahir dalam peperangan sama ada di hutan ataupun di sungai. Mereka dapat memerangkap pihak Inggeris di dalam hutan dengan bantuan orang-orang asli yang mempunyai kemahiran dalam selok belok hutan.Pihak Inggeris juga amat sukar untuk menjejaki pahlawan-pahlawan Pahang di sungai disebabkan arus sungai yang deras dan airnya yang amat dalam. Sebagai orang luar, pihak Inggeris tiada pengetahuan langsung dengan suasana persekitaran di hutan dan di sungai Pahang. Mereka terpaksa bergantung sepenuhnya dengan kepakaran daripada orang-orang Melayu yang dijadikan askar dipihak kerajaan.

 

Inggeris amat tercalar dengan kegagalan mereka untuk menangkap Datuk Bahaman dan pahlawan-pahlawan Pahang yang lain. Hugh Clifford melipat gandakan usaha untuk menjejak para pemberontak di mana saja mereka berada. Pada 27 Jun 1894, Kapten Lyons, Stewart, H. L. Talbot, E. A. Wise dan Kolonel Walker telah mengetuai pasukan seramai 65 orang askar Inggeris dan Sikh untuk menyerang para pemberontak ini di Jeram Ampai.

 

Datuk Bahaman telah bersedia dengan membina kubu-kubu dan memasang perangkap yang dibuat daripada buluh- buluh runcing bagi menyekat kemaraan askar-askar di pihak Inggeris. Serangan oleh pihak Inggeris telah ditentang dengan hebat oleh pahlawan-pahlawan Pahang  yang sekali-kali tidak akan melepaskan Jeram Ampai ke tangan penjajah.

 

Askar-askar Inggeris dan Sikh telah menerima tamparan hebat di mana E. A. Wise telah terkorban terkena tembakan dan tusukan buluh runcing.  Pihak Inggeris terpaksa berundur kerana menerima kekalahan teruk disebabkan orang-orang Melayu yang menjadi penunjuk jalan ke Jeram Ampai telah menyebelahi pihak pahlawan-pahlawan Pahang.

 

Sungai Tembeling telah diwarnai darah merah mayat-mayat askar dipihak Inggeris. Dikatakan air sungai tidak diminum selama beberapa bulan lamanya kerana hanyirnya bau mayat- mayat yang terapung di sungai. Setelah dapat melepaskan dendam terhadap Inggeris pahlawan-pahlawan Pahang meninggalkan Kuala Tembeling dan merangka strategi baharu di dalam hutan. 

 

Beberapa serangan lagi yang diarahkan oleh Hugh Clifford turut menemui kegagalan walaupun mereka menggunakan khidmat panglima- panglima yang handal dipihak kerajaan.  Clifford tidak mahu lagi mengalami kegagalan di Pahang. Beliau nampak hasil-hasil bumi Pahang amat banyak untuk diangkut ke negara beliau.

 

Tetapi yang menjadi penghalangnya ialah pahlawan-pahlawan Pahang yang dilabelkan sebagai pemberontak. Clifford tidak akan berasa aman selagi para pemberontak ini tidak dihapuskan.  Mereka mesti ditentang berhabis-habisan jika kekayaan bumi Pahang hendak diperolehi. Jika pihak Inggeris kecundang bererti mereka akan berputih mata dengan apa yang diidamkan selama ini.

 

Kekuatan askar-askar di pihak Inggeris terpaksa dilipatgandakan lagi. Segala ceruk dan rantau dijejaki bagi mendapatkan para pemberontak ini. Clifford sendiri mengetuai pasukan kerajaan bagi membuktikan beliau tidak takut menghadapi para pemberontak ini. Clifford juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang pernah beliau tuntut di Siam.

 

Asakan yang kuat daripada pihak Inggeris membuatkan pahlawan- pahlawan Pahang kehilangan punca kerana tidak mendapat sokongan daripada rakyat Pahang sendiri. Rakyat Pahang tidak berani lagi memberi bantuan kerana menerima ugutan dan ancaman akan dikenakan hukuman yang amat berat jika bersekongkol dengan mereka.Disebabkan tidak mendapat sokongan, pahlawan-pahlawan Pahang telah berundur ke Terengganu dan Kelantan. Clifford sanggup tinggal berbulan-bulan lamanya di sempadan kedua-dua negeri ini bagi memastikan para pemberontak ini dapat ditangkap. Beliau menawarkan hadiah yang cukup lumayan kepada orang-orang Melayu agar memberi maklumat kepada pihak Inggeris.

 

Setelah berundur ke beberapa tempat, pahlawan-pahlawan Pahang akhirnya  sampai ke Bunut Payung, Kelantan. Pahlawan-pahlawan Pahang telah berkumpul dan membuat satu perisytiharan kepada penduduk kampung. Mereka mengisytiharkan Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela dan Mamat Kelubi telah meninggal dunia. Pusara masing-masing telah dibina di kampung tersebut. Helah ini terpaksa dilakukan oleh Datuk Bahaman bagi mengelak mereka daripada diburu Inggeris.

 

Raja Siam mengetahui pahlawan- pahlawan Pahang masih hidup. Beliau memerintahkan dua orang hulubalangnya bernama Luang Prasak dan Luang Susap ke Lebir, Kelantan bersama 300 orang askar Siam bagi memujuk mereka untuk menyerah diri.Pahlawan-pahlawan Pahang akan diberi perlindungan dan dijadikan hulubalang di Siam. Kerajaan negeri Kelantan juga menghantar Datuk Lela DiRaja mengepalai angkatan untuk menemui pahlawan-pahlawan Pahang ini. Setelah menemui pahlawan- pahlawan Pahang, mereka gagal memujuk kerana pahlawan-pahlawan Pahang sudah dapat menghidu itu adalah helah untuk menyerahkan mereka kepada Inggeris.

 

Akhirnya hulubalang Siam dan Kelantan bermuafakat untuk mengadakan jamuan yang dinamakan “Majlis Muhibah” bagi meraikan pahlawan-pahlawan Pahang. Majlis perdamaian itu diadakan bagi membuktikan hulubalang-hulubalang, askar-askar Siam dan Kelantan tidak akan bermusuhan dengan pahlawan- pahlawan Pahang.

 

Jamuan itu dihadiri oleh Mat Kilau, Mat Lela, Awang Nong, Teh Ibrahim, Yusuf dan beberapa sahabat yang lain.   Datuk Bahaman tidak ikut serta kerana berada bersama orang asli di dalam hutan. Beliau telah menasihati Mat Kilau agar tidak menghadiri majlis tersebut tetapi Mat Kilau tetap berkeras mahu hadir dan berkata, “Yang baharu tidak memberi bekas.”

 

Makanan yang akan dihidangkan terlebih dahulu diisi racun dan ada juga mengatakan dicampur bahan mengkhayalkan. Apabila hidangan dijamah saja oleh pahlawan-pahlawan Pahang mereka berasa lemah anggota dan fikiran pun terasa melayang-layang.  Trumpet serta merta ditiup oleh pihak hulubalang Siam sebagai isyarat untuk menangkap pahlawan-pahlawan Pahang ini. Hanya Mat Kilau berusaha untuk melawan. Dalam keadaan tidak bermaya Mat Kilau dapat ditangkap oleh Datuk Lela DiRaja bersama askar-askarnya.

 

Mat Kilau telah diikat kedua-dua tangannya. Namun begitu beliau tetap melawan dan mengeluarkan kata-kata kesat mengherdik hulubalang-hulubalang yang menangkapnya sebagai pengecut.  Datuk Lela DiRaja tidak dapat menahan kesabarannya lantas menetak dahi Mat Kilau dengan sundang di tangannya.Tetakan itu tidak menjejaskan Mat Kilau. Melihatkan keadaan demikian, askar-askar Siam dan Kelantan mengerumuni Mat Kilau dan memulas kepala Mat Kilau sehingga mukanya teralih kebelakang. Mat Kilau dikatakan mati serta merta di tempat kejadian.

 

Askar-askar Siam bercadang hendak melemparkan jenazah Mat Kilau ke dalam sungai tetapi ditentang oleh askar-askar Kelantan. Sebagai orang Islam jenazah Mat Kilau mesti diurus dengan baik walaupun beliau seorang pemberontak. Jenazah Mat Kilau diusung ke istana Kelantan. Akhirnya jenazah Mat Kilau disemadikan secara rahsia di Kampung Bunut Payung dengan diiringi oleh 10 orang hulubalang.

 

 Penulis di pusara Mat Kilau


BERSAMBUNG…

 

 

 

Tags: