April 20, 2017

March 31, 2017

March 17, 2017

Please reload

Recent Posts

Majalah SB April 2017

March 31, 2017

1/5
Please reload

Featured Posts

Datuk Bahaman (Siri 4)

March 1, 2017

MELAYU MAINKAN INGGERIS

 

Datuk Bahaman dan para pengikutnya seringkali menyamar seperti orang asli di dalam hutan. Mereka menconteng wajah mereka dengan getah-getah kayu, memakai cawat dari kulit kayu dan mengendung ambung di belakang mereka.  Polis Inggeris dan Sikh kerapkali terserempak dengan Datuk Bahaman dan para pengikutnya di dalam hutan tetapi mereka tidak mengenali Datuk Bahaman.

HASIL serangan mengejut dilakukan, banyak tempat di Semantan dapat ditawan semula oleh Datuk Bahaman dari tangan pihak Inggeris.  J.P. Rodger, Residen Inggeris di Pahang telah membawa masuk 30 orang mata-mata Sikh dari Perak untuk menambah kekuatan pasukan kerajaan. Pada 6 Mei 1892, Rodger bersama Sultan Ahmad, Tok Gajah, Tengku Ali dan Orang Kaya Chenor telah bermesyuarat di Temerloh untuk melancarkan serangan balas ke Semantan. 

 

Keesokkannya Tengku Ali dan Tok Gajah bersama pasukan seramai 300 orang bergerak ke Semantan.  Mereka bertemu dengan pasukan Datuk Bahaman di Batu Hampar.  Pertempuran hebat telah berlaku di mana salah seorang anak Datuk Bahaman telah terkorban dalam pertempuran itu.  Akhirnya Batu Hampar dapat ditawan semula oleh pihak kerajaan. Tengku Ali dan Tok Gajah bertindak mengejar Datuk Bahaman dan para pengikutnya sehingga ke Lubuk Terua. Lubuk Terua dapat mereka tawan kembali oleh pihak Inggeris. Datuk Bahaman dan para pengikutnya bertindak melarikan diri ke dalam hutan.

 

 Tok Gajah

 

Bermula dari peristiwa itu, pegawai- pegawai Inggeris menaruh syak kepada Tok Gajah. Walaupun Tok Gajah menyebelahi pihak kerajaan tetapi beliau dilihat enggan masuk campur dalam gerakan untuk mengejar dan menangkap Datuk Bahaman. Sehinggakan tugas untuk memburu Datuk Bahaman dan para pengikutnya terpaksa diambil alih oleh orang lain. Tok Gajah dalam bersulit telah menghantar perutusan kepada para pedagang dari Sumatera dan Sulawesi yang tinggal di Selangor agar tidak memberi sokongan kepada Inggeris. Beliau turut menghantar orang-orang Rawa dari Kampung Budu, Lipis yang menyamar sebagai peniaga kerbau bagi mengintip pergerakan Inggeris di Ulu Langat, Ulu Ampang dan Semenyih.

 

Bagi memberi tekanan hebat kepada Inggeris, Mat Kilau telah mengumpul 30 orang pengikutnya bagi menentang pihak Inggeris. Pihak Inggeris diketuai oleh Walker dan Clifford, 3 orang inspektor berbangsa Eropah, 2 orang jemadar dan 150 orang polis Sikh di Kampung Budu.  Mereka juga menggali parit yang dinamakan Kubu Parit Dalam di mana panjangnya 300 meter, lebarnya 5 meter dan tingginya 10 meter atau setinggi pohon kelapa yang dijadikan kubu seperti kaedah Peperangan Ranjau.

 

Terbukti strategi itu amat berkesan sehingga mengorbankan separuh daripada polis Sikh yang terjatuh ke dalam parit tersebut. Disebabkan ada pengkhianat yang memberi maklumat, Mat Kilau dan para pengikutnya terpaksa berundur ke Ampau, Kampung Racap, Tekeong, Chat dan ke Bukit Raya.

 

Namun tindakan Mat Kilau dan para pengikutnya tidak dibiarkan begitu saja oleh pihak Inggeris.  Kehilangan nyawa di pihak Inggeris mereka mesti dituntut bela.  Pihak Inggeris bertindak menambah bilangan askar mereka.  Apabila askar-askar mereka mara ke Kampung Budu, Mat Kilau dan orang- orangnya sudah tidak kelihatan lagi.  

 

Sebagai tindakan membalas dendam pihak Inggeris telah membakar rumah- rumah, sawah padi dan ternakan penduduk di situ. Kampung Budu habis ranap dijilat api dan musnah sama sekali.  Tindakan Inggeris itu telah menambah lagi kebencian orang-orang Melayu terhadap mereka.

Pada pertengahan 1892, pihak Inggeris telah memaksa  400 orang penduduk Semantan berpindah ke Kampung Jenderak, Jerantut. Perpindahan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak mereka bersekongkol dengan Datuk Bahaman. Rodger sendiri telah mengadap Sultan dan meminta agar Tok Gajah ditangkap. Beliau dapat menghidu Tok Gajah menjalinkan hubungan dan bersubahat dengan Datuk Bahaman. Namun tindakan Rodger tidak mendapat perkenan Sultan.

 

 Baju Perang Batuk Bahaman

 

Setelah perang berlanjutan, pasukan Datuk Bahaman telah diasak sehingga mereka berundur ke Kuala Cheka.  Di situ Datuk Bahaman telah bergabung dengan Mat Kilau dan para pengikutnya yang sudah sedia menunggu.  Kehadiran Datuk Bahaman dan para pengikutnya telah dapat diketahui Inggeris.  Inggeris meletak pengintip mereka di merata tempat.  Setelah melalui Kampung Batu Balai, pasukan Datuk Bahaman dan Mat Kilau telah dikepung. Tetapi mereka sudah bersedia. Pertempuran itu mengakibatkan ramai di pihak Inggeris terbunuh dan mendapat kecederaan.

 

 

Kampung Batu Balai adalah lokasi yang amat strategik bagi Datuk Bahaman dan Mat Kilau.  Untuk sampai ke situ terpaksa melalui jalan sempit antara dua bukit yang curam.  Pihak Inggeris akan kehilangan punca apabila berada di kawasan tersebut.  Kawasan tersebut sentiasa dikawal oleh para pengikut Datuk Bahaman dan Mat Kilau yang sentiasa bersedia menghadapi musuh.   

 

Pada 27 Jun 1892, Rodger menyerahkan surat daripada Cecil Clementi Smith, Gabenor Negeri Negeri Selat mendesak Sultan Ahmad berpindah dari bersemayam di Pulau Tawar, Jerantut ke Pekan.  Pada 2 Ogos 1892 telah berlaku peristiwa perpindahan yang diikut serta oleh orang-orang besar Pahang.  Sewaktu perpindahan itu, Tok Gajah tidak turut serta.  Beliau mengambil kesempatan melarikan diri dengan membawa keluarga dan 100 orang pengikutnya di waktu malam menaiki perahu besar menuju Sungai Tembeling. 

 

Mat Kilau yang ketika itu berada di Kampung Kedondong segera mudik bersama para pengikutnya ke Sungai Tembeling untuk bertemu ayahnya. Beliau mengambil jalan sukar kerana bimbang pergerakannya dihidu Inggeris.   Akhirnya Mat Kilau dapat bertemu ayahnya di Kampung Pasir Atas.       

 

Pada bulan itu juga Gabenor Negeri- Negeri Selat diiringi Major Mac Callum  melawat Pekan untuk menemui Sultan Ahmad. Mereka mengadakan persidangan dan fokus utamanya bagi mengisytiharkan pengampunan kepada para pengikut Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Jika mereka menyerah diri mereka akan dilepaskan dan tidak akan menerima apa-apa hukuman. Namun begitu Datuk Bahaman dan Tok Gajah dikecualikan daripada pengampunan tersebut.

 

Pengumuman itu tidak  menarik minat Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.  Mereka tidak percaya kepada tawaran pengampunan itu.  Bagi mengotakan perjuangan mereka bukannya hanya sandiwara semata-mata, Mat Kilau bersama  adiknya Awang Nong berserta para pengikut mereka bertindak menyerang Inggeris di Kuala Atok berhampiran Sungai Tembeling.  Serangan yang dilakukan dapat menewaskan pasukan Inggeris yang diketuai Duff dan Panglima Garang Yusoh.

 

Dalam beberapa peperangan yang diketuai Datuk Bahaman, polis Inggeris dan Sikh tidak mengecam rupa sebenar beliau.  Datuk Bahaman dan para pengikutnya seringkali menyamar seperti orang asli di dalam hutan.  Mereka menconteng wajah mereka dengan getah-getah kayu, memakai cawat dari kulit kayu dan mengendung ambung di belakang mereka.  Polis Inggeris dan Sikh kerapkali terserempak dengan Datuk Bahaman dan para pengikutnya di dalam hutan tetapi mereka tidak mengenali Datuk Bahaman.  

 

Polis Inggeris dan Sikh pernah bertanya kepada Datuk Bahaman yang menyamar sebagai orang asli adakah beliau ternampak Datuk Bahaman yang mereka cari selama ini.  Datuk Bahaman berkata orang yang mereka cari baru saja lalu di situ.  Jika mereka hendak menangkap Datuk Bahaman mereka perlu menaiki rakit yang mereka sediakan. Percaya akan kata-kata tersebut, polis Inggeris dan Sikh menaiki rakit agar dapat cepat memintas Datuk Bahaman dan para pengikutnya. Apabila rakit sampai di tengah sungai, para pengikut Datuk Bahaman menyentak tali rakit yang mengakibatkan rakit itu terbalik. Ramai dikalangan polis Inggeris dan Sikh terjatuh ke dalam sungai dan mati lemas.

 

Setelah beberapa lama berperang dan tinggal dalam keadaan serba kekurangan di dalam hutan, akhirnya para pengikut Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau seramai 300 orang kini hanya tinggal 30 orang saja.  Ada yang terkorban, tercedera, jatuh sakit dan berpaling tadah.  Mereka telah digempur dari segenap penjuru oleh pihak Inggeris. Disebabkan kekurangan bekalan makanan dan kekurangan anggota,  mereka akhirnya berundur ke Ulu Kelantan.    

 

Pihak kerajaan telah mendapat berita akan kehadiran Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Ulu Kelantan.  Mereka menghantar utusan  untuk bertemu Datuk Bahaman.  Kandungan perutusan yang diterima meminta agar mereka  menyerah diri.  Mereka akan diberi pengampunan oleh Sultan.  Tetapi Datuk Bahaman menganggap itu hanyalah helah pihak Inggeris.  Inggeris yang akan membuat keputusannya nanti. Sudah pasti hukuman berat akan dijatuhkan. Mereka tidak sekali-kali akan menyerah diri.  Inggeris akan terus ditentang dengan apa cara sekali pun. 

 

Dalam bulan Mei 1894,  Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau telah berundur ke Kuala Terengganu dan tinggal di Kampung Seberang Engku Ngah.  Mereka sering ke Kampung Paloh menziarahi Saiyid Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan panggil Tokku Paloh. Datuk Bahaman dan Tok Gajah menceritakan penderitaan yang mereka tanggung kepada Tokku Paloh sewaktu menentang Inggeris di Pahang.

 

Tokku Paloh banyak memberi kata-kata semangat dan meminta pahlawan- pahlawan Pahang meneruskan perang sabil terhadap Inggeris. Beliau turut menurunkan ilmu-ilmu kebatinan dan memberikan keris dan pedang hikmat bernama “Kilat Senja” dan “Jalak Lenteng” kepada Datuk Bahaman. Tokku Paloh berkata mereka akan menang melawan orang-orang kafir. 

 

Setelah mendapat suntikan semangat oleh Tokku Paloh, pahlawan-pahlawan Pahang berazam untuk meneruskan perang terhadap Inggeris.  Mereka dapat mengumpul hampir 100 orang dari daerah Besut, Terengganu dan Lebir, Ulu Kelantan dengan bantuan Mamat Kelubi. Ketika bergerak dari Kampung Seberang Engku Ngah menuju ke Ulu Lebir, mereka berkata kepada orang- orang Melayu di sepanjang perjalanan bahawa mereka akan melancarkan perang sabil ke negeri Pahang. Orang- orang Melayu Terengganu berpekik bersorak menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pahlawan- pahlawan Pahang. Hanya Mat Kilau masih berada di Kg. Paloh bagi menghimpun orang-orang di situ.
 

 Penulis bersama beberapa yang lain di Kubu Parit Dalam

 

 

 

BERSAMBUNG...