April 20, 2017

March 31, 2017

March 17, 2017

Please reload

Recent Posts

Majalah SB April 2017

March 31, 2017

1/5
Please reload

Featured Posts

Datuk Bahaman (Siri 3)

February 28, 2017

DATANG UNTUK PORAK PERANDA

 

Pihak Inggeris telah mengeluarkan perintah agar Datuk Bahaman ditangkap. Pihak Inggeris bersama askar-askar Sikh telah memudiki Sungai Lubuk Senggarat untuk menangkap Datuk Bahaman. Jika Datuk Bahaman dapat ditangkap bererti tamatlah penentangan orang-orang Melayu terhadap mereka.

DATUK Bahaman secara bersulit bersama Panglima Hitam Haji Othman @ Radin Damabulan, Mat Lela dan Mamat Kelubi telah pergi ke Kota Tinggi, Johor menghadap Sultan Abu Bakar Johor dan Cecil Clementi Smith, Gabenor Negeri-Negeri Silat. Mereka mengadukan hal orang-orang besar Pahang tidak dibayar gaji mengikut perjanjian yang ditetapkan.Mereka terasa dianiaya kerana dilayan secara tidak adil oleh pihak Inggeris. Smith telah berjanji untuk menangani masalah itu. Namun Datuk Bahaman tidak bersetuju dengan janji yang ditaburkan oleh pihak Inggeris itu yang hanya manis di bibir saja.

 

Kedatangan rombongan Datuk Bahaman ke Kota Tinggi telah dapat dihidu oleh pihak Inggeris di Pahang. Mereka amat marah dengan tindakan Datuk Bahaman itu. Mereka menuduh Datuk Bahaman seorang yang degil dan keras kepala. Pihak Inggeris sejak dari dahulu lagi menaruh curiga terhadap Datuk Bahaman. Dari pemerhatian mereka, Datuk Bahaman lah orang yang akan menentang mereka kelak.

 

Pada tahun 1889, pihak Inggeris telah merampas tanah milik Orang Kaya Setia Raja Haji Wan Daud di Kuala Lipis.  Haji Wan Daud adalah sahabat baik Datuk Bahaman. Tindakan Inggeris yang tidak berperikemanusiaan itu menambah kebencian Datuk Bahaman terhadap mereka.

 

Apatah lagi dengan terdirinya pondok polis di Lubuk Terua, Semantan bererti semua pergerakan Datuk Bahaman dan pengikut-pengikutnya diawasi sepenuhnya oleh pihak Inggeris. Mereka menjadi tidak bebas bergerak di bumi sendiri.

 

Dalam Majlis Mesyuarat Negeri Pahang, Hugh Clifford, Pemangku Residen British di Pahang telah membincangkan dengan panjang lebar berkenaan Datuk Bahaman.  Clifford mengeluarkan arahan barang siapa yang tidak mengikut perintah kerajaan Sultan Pahang bererti mereka menderhaka terhadap Sultan. Beliau turut menyatakan Datuk Bahaman yang menjadi punca berlakunya kekacauan di Semantan.

 

Pada Majlis Mesyuarat Negeri berikutnya, Hugh Clifford telah menasihati Sultan agar jawatan Datuk Bahaman sebagai Orang Kaya Setia Pahlawan Semantan dilucutkan. Dengan lucutnya gelaran itu bererti Datuk Bahaman tidak mempunyai apa-apa kuasa lagi di negeri Pahang. Ia akan lebih memudahkan pihak Inggeris melaksanakan undang-undang mereka di negeri Pahang.

 

Tindakan Inggeris itu sudah dapat dijangka. Ia membangkitkan lagi api kemarahan Datuk Bahaman. Orang luar ini mesti diajar. Mereka datang bukan untuk membawa keamanan tetapi menambah porak-perandakan bumi Pahang.

 

Panglima Hitam Haji Othaman @ Radin Derambulan 

 

Oleh kerana bimbangkan Datuk Bahaman dan pengikut-pengikutnya memberontak, pihak Inggeris telah menambah kekuatan askarnya di Lubuk Terua.Pengikut-pengikut Datuk Bahaman yang mencari rezeki telah ditangkap Inggeris kerana dituduh mencuri hasil- hasil hutan di Sungai Semantan. Mereka sepatutnya bebas untuk mencari rezeki di mana-mana tanpa sekatan daripada mana-mana pihak. Itu sudah lumrah kehidupan mereka sebelum ini.

 

Percaturan yang ditetapkan Inggeris membuatkan  kehidupan mereka disekat. Dendam Datuk Bahaman terhadap Inggeris semakin hari semakin membara. Sikap kurang ajar Inggeris mesti dihentikan. Para pengikut Datuk Bahaman dikumpul dan mereka telah bermuafakat untuk menghalau Inggeris dari bumi Pahang dengan apa cara sekali pun. Orang luar tidak boleh diberi muka. Kelak negeri ini nanti menjadi hak milik mereka.

 

Pihak Inggeris telah mengeluarkan perintah agar Datuk Bahaman ditangkap.  Pihak Inggeris bersama askar-askar Sikh telah memudiki Sungai Lubuk Senggarat untuk menangkap Datuk Bahaman. Jika Datuk Bahaman dapat ditangkap bererti tamatlah penentangan orang-orang Melayu terhadap mereka.

 

Kemaraan pihak Inggeris dinantikan oleh Datuk Bahaman bersama para pengikut setianya. Mereka akan membalas serangan daripada pihak Inggeris dengan apa cara sekali pun.  Dengan penentangan ini bererti perang terhadap Inggeris akan bermula di negeri Pahang.

 

Mat Lela anak Datuk Bahaman (gambar sebelah) yang gagah perkasa ditugaskan untuk menarik rantai besar merentangi sungai. Apabila perahu-perahu pihak musuh memasuki kuala sungai, rantai besar pun ditarik. Perahu-perahu di pihak musuh habis terbalik dan karam.Ada di pihak musuh yang mati lemas dan jika terselamat akan berenang ke darat dan mereka sebenarnya menempah musibah. Pengikut-pengikut setia Datuk Bahaman sudah menunggu di tepi tebing. Pihak musuh dilontar dengan lembing dan disumpit menggunakan sumpitan sehinggakan ramai dipihak musuh terkorban.

 

Tindakan berani Datuk Bahaman itu menunjukkan beliau mengotakan kata- katanya. Beliau rela berkorban dari berputih mata melepaskan negeri ini kepada diperintah oleh pihak penjajah.Tindakan Datuk Bahaman itu mendapat sokongan orang-orang Melayu. Mereka sanggup menyertai Datuk Bahaman demi cinta mereka kepada bangsa, agama dan tanahair. Pada awalnya para pengikut Datuk Bahaman hanya 100 orang saja tetapi telah bertambah sehingga 600 orang.

 

Suku masyarakat orang Asli turut menyertai pasukan Datuk Bahaman.  Mereka juga tidak suka pihak luar menjajah negeri Pahang. Sebagai masyarakat peribumi mereka rela berkorban demi menegakkan kembali ketuanan Melayu di bumi sendiri.  Kepakaran mereka dalam selok belok hutan amat diperlukan oleh Datuk Bahaman. Apatah lagi mereka turut menyumbang membekalkan senjata- senjata tradisional seperti sumpitan, panah dan lembing yang boleh digunakan bagi melemahkan pihak Inggeris.

 

Setelah mendapat sokongan padu, Datuk Bahaman mengorak langkah  untuk mengajar pihak Inggeris. Datuk Bahaman bersama pengikut-pengikut setianya menyerang pekan Temerloh.Sewaktu serangan tersebut C.E.M Desborough, Pemangku Pemungut Cukai Tanah Inggeris di mukim Semantan berada di situ. Serangan mengejutkan itu telah menyebabkan Desborough dan mata-mata polis yang berkawal di situ bertindak melarikan diri. Hasil strategi serangan yang teratur, Datuk Bahaman dan pengikut-pengikutnya dapat menawan Sungai Semantan dan pekan Temerloh.

 

Ternyata serangan itu mencalarkan imej pihak Inggeris. Hugh Clifford, Pemangku Residen Inggeris di Pahang berasa dipermainkan oleh Datuk Bahaman. Clifford tidak berdiam diri. Bersama pasukannya seramai 200 orang, mereka bergerak menuju Semantan untuk menggempur Datuk Bahaman. Apabila sampai ke Semantan mereka hanya menjumpai kubu-kubu di pihak Datuk Bahaman yang sudah ditinggalkan. Clifford terus berusaha untuk menjejaki Datuk Bahaman. Setelah tiba di Kampung Kelubi, pasukan Clifford telah bertembung dengan pasukan Datuk Bahaman. Maka berlakulah pertempuran sengit diantara kedua belah pihak.

 

Askar-askar Sikh dan Melayu di dalam pasukan Clifford tidak boleh bekerjasama dan kurang persesuaian diantara mereka kerana baru pertama kali digandingkan. Ia membuka ruang kepada pasukan Datuk Bahaman untuk meningkatkan serangan dengan lebih hebat. Akibat serangan tersebut ramai dikalangan askar di pihak Clifford mendapat kecederaan parah dan menemui ajal.

 

Disebabkan pasukan Clifford yang lemah, Datuk Bahaman dan orang- orangnya dapat menewaskan pasukan Clifford. Clifford meminta pasukannya berundur. Beliau terpaksa merangka strategi baru bagi menangkap Datuk Bahaman. Beliau pulang untuk menghadap Sultan dan menceritakan peristiwa yang berlaku.

 

 

Akibat tindakan Datuk Bahaman itu, baginda telah mengisytiharkan Datuk Bahaman sebagai seorang penderhaka dan pemberontak kerana memulakan kempen menentang Inggeris di negeri Pahang. Baginda menitahkan Datuk Bahaman ditangkap dan dibunuh. Mana- mana rakyat yang turut bersekongkol dengan Datuk Bahaman akan ditangkap dan akan menerima hukuman yang berat.

 

Baginda sendiri mengepalai pasukan perang kerajaan untuk menjejaki Datuk Bahaman di lembahan Sungai Semantan. Pasukan dipimpin baginda  telah terserempak dengan pasukan Datuk Bahaman di Batu Hampar. Serangan bertubi-tubi dilakukan oleh pasukan kerajaan. Namun pasukan Datuk Bahaman tidak melakukan serangan balas.  Sultan adalah payung rakyat. Datuk Bahaman tidak sekali-kali akan menderhaka kepada Sultan apatah lagi menentang pasukan yang dikepalai baginda. Beliau hanya bersengketa dengan pihak Inggeris saja. Bagi menjernihkan keadaan, beliau bersama para pengikutnya berundur ke dalam hutan.

 

Oleh kerana bimbangkan pasukan Datuk Bahaman akan bertambah kuat dan khuatir orang-orang Melayu akan menyebelahinya, Sultan telah menawarkan pengampunan kepada para pengikut yang pernah berjuang bersama Datuk Bahaman. Tetapi Datuk Bahaman dikecualikan daripada tawaran itu. Ternyata tawaran itu telah disambut baik oleh sebahagian para pengikut Datuk Bahaman. Mereka berfikir lambat laun mereka akan tertangkap dan akan menerima hukumannya.

 

Masing-masing merebut peluang keemasan ini untuk pulang ke kampung halaman. Situasi ini benar-benar menggugat kekuatan pasukan Datuk Bahaman. Walaupun kekurangan anggota tetapi mereka tetap meneruskan usaha untuk menghalau penjajah dari bumi Pahang. Bagi membuktikan beliau bukannya seorang yang mudah digertak, Datuk Bahaman bersama para pengikutnya telah menyerang Lubuk Terua buat kali keduanya. Serangan mengejut itu dengan mudah mereka dapat menguasai Lubuk Terua daripada pihak kerajaan. Walaupun dengan anggota yang sedikit tetapi dari hari ke hari Datuk Bahaman menerima anggota baru terdiri daripada orang-orang Melayu yang bersedia untuk menyertai gerakannya.

 

Kebencian terhadap Inggeris tidak saja berputik di kalangan orang-orang Melayu tetapi orang-orang besar Pahang turut menyimpan dendam tersebut. Dalam keadaan bersulit-sulit, Imam Perang Rasu Tok Gajah telah menyebelahi Datuk Bahaman.Tok Gajah memainkan peranan di belakang tabir dengan membantu membekalkan makanan kepada pasukan Datuk Bahaman di dalam hutan. Tok Gajah telah membuat rancangan dengan Datuk Bahaman untuk menyerang pasukan Clifford di Kuala Lipis.

 

Pasukan Datuk Bahaman kini bertambah kuat dengan pengabungan daripada orang-orang Tok Gajah dan juga orang-orang yang telah dikumpulkan oleh Mat Kilau anak Tok Gajah di Kampung Budu, Lipis.Tidak sahaja sokongan diberikan oleh orang-orang Melayu Pahang, malah Raja Lahab dari Seri Menanti, Negeri Sembilan yang merupakan sahabat karib Datuk Bahaman, Raja Bot di Selangor dan orang-orang Minangkabau yang tinggal di sempadan Selangor dan Pahang turut merestui perjuangan beliau.

 

Raja Bot amat bersimpati dengan perjuangan Datuk Bahaman kerana Datuk Bahaman pernah membantu  Tengku Kudin sewaktu perang saudara di Selangor. Kini menjadi kewajipan beliau untuk membantu Datuk Bahaman pula.

BERSAMBUNG.....

 

 

Share on Facebook