Datuk Bahaman (Siri 2)


PERANG SAUDARA

Sebagai orang besar, Datuk Bahaman bersahabat baik dengan Wan Ahmad anak Bendahara Tun Ali dari Pahang. Wan Ahmad seringkali berkunjung ke Sri Menanti untuk bertemu Datuk Bahaman. Persahabatan mereka begitu akrab sekali. Sehingga akhirnya Datuk Bahaman datang ke Pahang dan berbakti kepada sahabatnya Wan Ahmad sewaktu meletus Perang Saudara ataupun disebut perang sesama sendiri ataupun perang adik beradik di Pahang.

SETELAH angkatan perang Pahang berjaya menawan beberapa tempat di Selangor, mereka pulang semula ke negeri Pahang. Selain menerima bantuan dari Pahang, Tengku Kudin turut dibantu oleh pasukan Kapitan Yap Ah Loy. Hasil gandingan bersama, mereka berjaya menawan Petaling. Mereka terus mara untuk menggempur pasukan Raja Mahdi. Mereka dapat merasakan kemenangan sudah menunggu mereka.

Akhirnya Kuala Lumpur yang telah ditawan oleh pasukan Raja Mahdi telah berjaya dikepung oleh pasukan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy. Serangan yang lebih besar terhadap pasukan Raja Mahdi akan meletus bila-bila masa sahaja. Mereka hanya menunggu ketibaan angkatan perang Pahang yang akan datang kembali untuk membantu mereka.

Seperti yang telah dijangkakan, angkatan perang Pahang di bawah pimpinan Tok Gajah dan Orang Kaya Chenor masuk semula ke Selangor. Mereka terus menuju ke Kuala Lumpur dengan mendapat sedikit tentangan. Mereka berjaya menawan jalan-jalan penting yang dapat menghubungkan Ulu Selangor dengan Pahang. Hasil gabungan angkatan perang Pahang dengan pasukan Tengku Kudin akhirnya mereka berjaya menawan Ulu Kelang.

Pada bulan Mac 1873, Tengku Kudin dengan bantuan dari angkatan perang Pahang dan Yap Ah Loy berjaya mengalahkan Raja Mahdi. Setelah suasana sudah kembali aman semula, Tok Gajah mengambil keputusan untuk pulang buat sementara ke Pahang. Kepulangan beliau disambut sebagai seorang wira oleh orang-orang Pahang. Peranan besar yang dimainkan oleh Tok Gajah dalam Perang Selangor telah menjulang nama beliau sebagai pahlawan Melayu terbilang. Bendahara Wan Ahmad Pahang telah mengurniakan gelaran Orang Kaya Imam Perang Indera Gajah bagi menghargai jasa Tok Gajah dalam Perang Selangor tersebut.

Pada akhir tahun 1873, angkatan perang Pahang yang masih berada di Selangor telah diarahkan untuk pulang ke Pahang. Hanya Datuk Bahaman dan orang-orangnya tidak turut serta kerana beliau dilantik sebagai ketua bagi menjaga Ulu Kelang. Walaupun suasana sudah kembali aman tetapi masih ada pihak-pihak yang cuba membangkitkan kekacauan.

Namun begitu Datuk Bahaman dan orang-orangnya dapat mematahkan pergerakan pihak-pihak tersebut. Sehinggalah keadaan sudah betul-betul pulih seperti sediakala barulah Datuk Bahaman dan orang-orangnya meninggalkan Selangor untuk pulang ke Pahang.

Datuk Bahaman adalah satu nama besar di negeri Pahang. Beliau dilahirkan pada tahun 1824 dengan nama Tengku Abdul Rahman Alam Shah bin Tengku Nong. Tempat sebenar kelahiran beliau tidak diketahui kerana ada berbagai pendapat mengenainya.Ada pendapat mengatakan beliau dilahirkan di Kota Raja, Acheh, Sumatera. Ada juga pendapat mengatakan beliau dilahirkan di Negeri Sembilan. Namun begitu rakyat negeri Pahang pula mengakui beliau adalah anak jati Pahang yang dilahirkan di Lanchang, Temerloh.

Bukti kukuh yang menyokong pendapat ini disebabkan ayah beliau Tengku Nong telah disemadikan di Kampung Rantau Panjang, Lanchang. Bertepatan juga dengan gelaran Orang Kaya Semantan yang dianugerahkan kepada beliau. Daerah Semantan yang kini dikenali dengan nama Lanchang adalah di bawah pegangan Datuk Bahaman sebelum beliau memberontak menentang campurtangan Inggeris di Pahang.

Hasil dari kajian terperinci yang dilakukan menguatkan bukti bahawa Datuk Bahaman sebenarnya berasal dari Acheh. Bonda kepada Datuk Bahaman, Tengku Esah binti Tengku Abdullah bersalasilah keturunan daripada Raja Acheh. Datuk Bahaman juga mempunyai empat orang adik beradik iaitu Tengku Muhamad Ya’akob, Tengku Ibrahim, Tengku Maznah dan Tengku Maimunah.

TOK GAJAH

Datuk Bahaman bersama ayahandanya mula datang ke Tanah Melayu pada tahun 1854. Mereka mula menempatkan diri di Sri Menanti, Negeri Sembilan di zaman pemerintahan Tengku Antah, Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Tengku Radin, ayahanda kepada Tengku Antah mempunyai pertalian adik beradik dengan Tengku Nong, ayahanda kepada Datuk Bahaman.

Disebabkan ikatan tali kekeluargaan yang amat dekat, Tengku Antah telah melantik Datuk Bahaman sebagai orang besar istana dengan memakai gelaran Datuk Camang Gagah.

Sebagai orang besar, Datuk Bahaman bersahabat baik dengan Wan Ahmad anak Bendahara Tun Ali dari Pahang. Wan Ahmad seringkali berkunjung ke Sri Menanti untuk bertemu Datuk Bahaman. sekali. Sehingga akhirnya Datuk Bahaman datang ke Pahang dan berbakti kepada sahabatnya Wan Ahmad sewaktu meletus Perang Saudara ataupun disebut perang sesama sendiri ataupun perang adik beradik di Pahang.

Datuk Bahaman ketika itu memakai gelaran Panglima Kakap menjadi kepala perang bersama Endut Panglima Raja, Koming Imam Perang Raja, Talin Panglima Laut dan Hitam Pengasuh Panglima Dalam sewaktu angkatan perang Wan Ahmad menyerang Pahang dari Kemaman, Terengganu pada bulan November 1857.

Angkatan perang itu sampai melalui jalan laut ke Kuala Pahang, Pekan. Mereka terus menuju ke Kampung Marhum. Akhirnya mereka berjaya menawan Kampung Pulau Jawa lantas mendirikan kubu sebagai tempat pertahanan. Peperangan itu dinamakan Perang Orang-Orang Kemaman.

Peperangan ini berlarutan sehingga angkatan perang Wan Ahmad bersama panglima-panglimanya terpaksa berundur semula ke Kemaman. Mereka merancang strategi baru. Setelah bersedia sepenuhnya, angkatan perang yang sekali lagi dipimpin oleh Panglima Kakap Bahaman telah belayar menuju Kuala Pahang. Dari situ mereka menyerang Kuantan. Dari Kuantan mereka kembali ke Sungai Miang, Pekan.

Oleh kerana serangan yang dilakukan mendapat tentangan daripada pihak Wan Mutahir, kekanda kepada Wan Ahmad, maka angkatan perang itu berundur ke Kuala Endau. Mereka telah bergabung dengan ketua- ketua di Kuala Endau yang menyokong perjuangan mereka. Kubu-kubu didirikan di situ. Orang-orang Wan Ahmad telah pergi ke Singapura untuk mendapatkan bekalan senjata dan ubat bedil. Dengan tidak disangka-sangka angkatan perang Wan Mutahir telah datang menyerang ke Kuala Endau. Maka berlakulah peperangan diantara kedua belah pihak. Peperangan yang disertai oleh panglima-panglima yang gagah perkasa itu dinamakan Perang Endau.

Disebabkan asakan daripada pihak kekandanya, angkatan perang Wan Ahmad terpaksa meninggalkan Endau dan belayar ke Kuantan. Mereka berperang di situ selama tiga bulan lamanya yang disebut sebagai Perang Kuantan. Pasukan Wan Ahmad terpaksa berundur dan kembali semula ke Kemaman. Dari Kemaman beliau pergi ke Kelantan untuk mendapatkan sokongan. Dengan ketiadaan beliau, sebuah perahu dari Singapura telah belayar ke Kemaman bertujuan untuk menculik orang-orang perempuan di pihak Wan Ahmad.

Namun dengan ketangkasan Panglima Kakap Bahaman, Panglima Raja dan Daing Muhamad ketua orang-orang Bugis, hasrat tersebut dapat dipatahkan. Perahu itu terpaksa belayar balik dengan penuh kehampaan.

Orang-orang Melayu Rawa yang tinggal di daerah Raub dan orang-orang Jelai diketuai Wan Daud bin Wan Pahang dan Khatib Rasu telah bangkit membantu Wan Ahmad. Wan Daud adalah sepupu kepada Wan Embong yang telah dibunuh oleh pihak seteru. Dengan bantuan 400 orang-orang Rawa mereka dapat menawan Kuala Tembeling, Kangsa dan Kelola di Jerantut serta menyerang Tanjung Batu dan Kerdau di Temerloh. Di atas sokongan dan bantuan Khatib Rasu, beliau telah dianugerahkan gelaran Imam Perang Rasu Tok Gajah oleh Wan Ahmad.

Serang hendap terhadap pihak seteru terus dilakukan di Batu Sawar. Panglima Kakap Bahaman telah merentang sungai dengan batang-batang kayu bagi menghalang perahu-perahu pihak seteru dari menceroboh.Strategi itu telah berjaya menyekat pergerakan pihak seteru sehingga banyak nyawa terkorban di mana perahu-perahu yang terbalik telah diserang oleh orang- orang Panglima Kakap Bahaman.

Pada 10 Jun 1863, akhirnya Perang Saudara di Pahang dimenangi oleh Wan Ahmad hasil bantuan daripada Panglima Kakap Bahaman bersama Imam Perang Rasu Tok Gajah dan panglima-panglima perang yang handal. Wan Ahmad berjaya diangkat menjadi Bendahara, raja pemerintah negeri Pahang dengan memakai gelaran Bendahara Siwa Raja. Dan pada 06 Ogos 1882 Bendahara Wan Ahmad memakai gelaran Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah Sultan Pahang.

Pada bulan April 1885, pihak British mula berminat untuk membuat perjanjian dengan Pahang. Sir Cecil Clementi Smith, Pemangku Gabenor di Singapura telah menghantar Frank Swettenham, Pemangku Residen British di Perak ke Pahang.

Pada tahun 1887, orang ramai sudah mengetahui kerajaan British hendak membuat perjanjian dengan Pahang dan tidak secara langsung hendak masuk campur dalam pemerintahan di negeri Pahang. Setelah ditempatkan Residen British di Pahang maka bermulalah undang-undang British ditegakkan di Pahang.

Di dalam Majlis Mesyuarat Negeri yang bersidang, Residen British telah menetapkan gaji pembesar-pembesar Pahang. Pembesar-pembesar Pahang berpendapat gaji mereka tidak memadai dan mencukupi jika dibandingkan gaji yang mereka terima sebelum kedatangan British.

J.P. Rodger, Residen British mengancam akan menghukum sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Mesyuarat Negeri tersebut. Kata putus daripada J.P Rodger membuatkan Datuk Bahaman mendendam rasa terhadap British.

Pada bulan Disember 1890, Datuk Bahaman memarahi E. A. Wise, Majistret British di Temerloh kerana Wise telah memilih satu tempat di Lubuk Terua yang terletak di tepi Sungai Semantan untuk didirikan balai polis.Sebagai orang besar yang dilantik di situ sepatutnya Wise berunding terlebih dahulu dengan beliau. Ia seolah-olah Wise tidak mengindahkan siapa itu Datuk Bahaman. Dengan terdirinya balai polis di situ bererti undang-undang British telah dikuatkuasa sepenuhnya.

Datuk Bahaman juga sama sekali tidak berpuas hati dengan pemungutan cukai yang dikenakan oleh pihak British. Mereka membataskan kebebasan orang- orang kampung untuk mencari rezeki di hutan. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh British dalam urusan pemerintahan di negeri Pahang menambahkan lagi penentangan Datuk Bahaman.

Kedatangan British bertujuan bagi melaksanakan pemerintahan mengikut undang-undang mereka. Undang-undang baharu itu adalah bagi mengubah undang-undang sedia ada yang digunapakai sebelum ini. Namun Datuk Bahaman terlebih dahulu dapat menghidu niat jahat British itu. Undang- undang yang dikatakan amat teratur dan adil itu adalah muslihat semata-mata yang telah dirancang bagi menakluk negeri Pahang.

Tanah-tanah di negeri Pahang telah banyak dipajak kepada saudagar- saudagar Inggeris, Australia dan China terutamanya di Penjom, Ulu Cheka, Selinsing, Raub, Sempam, Liang, Tanum, Terlum, Tersang, Ulu Lipis dan Yong. Kekayaan hasil bumi seperti emas dan bijih timah bukan digunakan untuk membangunkan negeri Pahang tetapi telah diangkut ke negara mereka. Sedangkan rakyat di negeri Pahang masih hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.

BERSAMBUNG ....

#DatukBahaman

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

No. 6-1, Jalan 5A/6
Taman Setapak Indah 

53300 Kuala Lumpur

Tel      :  018-4044471
EMail : majalahsb@gmail.com

  • Facebook Social Icon
  • Google+ Social Icon

Website © 2020 oleh Akademi Wangsa