April 20, 2017

March 31, 2017

March 17, 2017

Please reload

Recent Posts

Majalah SB April 2017

March 31, 2017

1/5
Please reload

Featured Posts

Datuk Bahaman (Siri 1)

February 24, 2017

SIAPA TOK GURU PERAMU?

 

 

 

Setelah reda dengan cerita Mat Kilau, muncul pula cerita tentang seorang tua yang agak ganjil. Seorang tua yang dipecayai sudah berusia hampir 150 tahun tinggal di sebuah rumah di Kampung Peramu, Kuantan. Oleh kerana identiti beliau tidak diketahui, orang kampung memanggil beliau dengan gelaran Tok Guru Peramu sahaja. Beliau amat tidak senang dengan pengakuan Mat Kilau itu...

 

SEJARAH tokoh-tokoh pahlawan Melayu silam perlu diberi perhatian sewajarnya. Tanpa perjuangan mereka dalam menentang ancaman pihak luar belum pasti negara ini dapat mengecapi erti kemerdekaan sebenarnya.

 

Sewaktu negara dijajah, mereka bertindak berada di barisan hadapan bagi menghalau penjajah dari menyebar luaskan lagi ideologi mereka di sini.  Hasil dari kesedaran itu telah muncul tokoh-tokoh pahlawan Melayu yang pernah dilabelkan sebagai pemberontak oleh pihak penjajah bagi menagih sokongan rakyat untuk menyebelahi mereka.

 

Namun rakyat sedar, bumi bertuah yang dipijak ini tidak memerlukan tunjuk ajar pihak luar dalam sistem pemerintahannya.  Kita tidak perlu mengikut telunjuk mereka.  Kelak jika dituruti bererti kita rela menerima akibatnya.  Padahnya bukan hanya sementara tetapi akan berlarutan sehingga tidak mampu dibendung lagi. Kita sebenarnya mampu memerintah dengan acuan kita sendiri. Negara kita untuk kita dan negara mereka untuk mereka.

 

Jika mereka cuba mencampuri urusan kedaulatan negara kita, maka dalam senyap-senyap akan muncul para pejuang yang sedia memberontak pada bila-bila masa sahaja.  Perjuangan tidak pernah mengenal erti hidup ataupun mati. Itulah kata-kata keramat Tokku Paloh sewaktu beliau meniupkan semangat pahlawan-pahlawan Pahang bagi meneruskan perang sabil terhadap penjajah.Sebagai seorang ulama sufi beliau sanggup melindungi pahlawan-pahlawan Pahang kerana tanpa perjuangan mereka sudah pasti dengan mudah orang-orang Melayu diperkotak katikkan.    

 

Pada penghujung tahun 60’an, di negeri Pahang heboh dengan kemunculan semula orang-orang tua lama. Tahun itu dianggap sebagai tahun orang-orang tua lama kerana kemunculan mereka ada kaitannya dengan sejarah tanahair. Mereka keluar dengan cara lama serta bertutur dengan bahasa Melayu lama. Walaupun mereka semua sudah dimamah usia dan berusia melebihi 100 tahun tetapi mereka masih mampu bercerita kisah-kisah silam terutamanya peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman penentangan Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan sahabat-sahabat seperjuangan terhadap Inggeris.

 

 

Kemunculan semula Mat Kilau dengan pengakuan sumpahnya bahawa beliau adalah Mat Kilau anak Tok Gajah di Masjid Pulau Tawar, Jerantut, Pahang pada 26 Disember 1969 telah mengemparkan seluruh masyarakat terutamanya orang-orang Melayu di negara ini.  

 

Kemunculan yang tidak diduga dan disangkakan itu amat mengejutkan kerana Mat Kilau telah pun diisytiharkan mati sebelum ini. Sejarah yang telah ditulis terpaksa diperbetulkan kerana amat tidak bertepatan dengan peristiwa yang telah berlaku. 

 

Jawatankuasa Menyiasat Munculnya Mat Kilau terpaksa ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pahang semata-mata bagi menyiasat pengakuan seorang tua bernama Mat Siam yang mengaku bahawa dia sebenarnya adalah Mat Kilau.   Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Datuk Haji Abdul Aziz bin Ahmad. Kajian terperinci telah dilakukan bagi mengesahkan kebenaran pengakuan Mat Siam itu. Mana-mana individu yang ada kaitan dengan Mat Kilau dipanggil termasuklah sanak saudara, anak-anak murid, sahabat- sahabat seperjuangan, individu-individu tertentu dan sebagainya lagi. Pengakuan mereka diperlukan bagi menambah bukti- bukti kukuh sebelum jawatankuasa itu boleh membuat keputusan sama ada Mat Siam itu adalah Mat Kilau.

 

 

Sahabat-sahabat seperjuangan Mat Kilau seperti Mat Saman bin Sulaiman @ Mat Kelantan dan Raja Ibrahim bin Tan Kechik @ Pak Him dipanggil.  Maimunah binti Mat Salleh @ Mek Munah yang mengenali Mat Kilau turut dipanggil juga.  Hanya mereka sahaja yang masih ada bagi membuktikan pengakuan Mat Siam itu. Mereka diundang khas bagi membuat pengecaman terhadap Mat Siam di Pusat Pertanian Paya Besar, Batu 5, Jalan Gambang,Kuantan.

 

Mat Kelantan yang sudah mengaku menjangkau usia 152 tahun yang tinggal di Kampung Banir Belakong, Bukit Ibai, Kota Bharu merupakan sahabat seperjuangan Mat Kilau sewaktu meletus perang menentang Inggeris di Kuala Tembeling pada tahun 1894. Beliau pernah berguru dan bertukar-tukar ilmu kepahlawanan Melayu dengan Mat Kilau.

 

Pak Him yang sudah berusia 110 tahun yang tinggal di Batu 30, Jalan Kuala Krai, Machang pernah mengangkat senjata bersama Mat Kilau dan Mat Kelantan sewaktu perang di Kuala Tembeling. Beliau juga sempat berguru dengan Mat Kilau dan Tok Bahaman. Mek Munah, 95 yang tinggal di Pasir Nering, Kuala Berang, Ulu Terengganu pernah bertemu Mat Kilau kerana Mat Kilau dan Tok Gajah pernah ke rumahnya Mat Kilau dan Tok Gajah juga pernah tinggal di kampung Mek Munah sebelum Tok Gajah meninggal dunia dan dikebumikan di kampung tersebut.

 

Walaupun sudah hampir 75 tahun mereka tidak bertemu, akhirnya pertemuan bersejarah yang diaturkan dapat menemukan mereka semula. Mereka  semua sudah uzur termasuklah Mat Kilau sendiri.  Mat Kelantan walaupun sudah hilang penglihatannya tetapi apabila dengar saja orang sebut Inggeris beliau lantang bersuara melepaskan geramnya terhadap penjajah tersebut. Hasil dari pertemuan itu, Mat Kelantan, Pak Him dan Mek Munah membuat pengakuan bahawa Mat Siam yang berada di hadapan mereka adalah sebenarnya Mat Kilau.

 

Walaupun Mat Kelantan tidak dapat melihat tetapi dengan meraba-raba tubuh Mat Kilau beliau dapat mengecam tanda- tanda yang ada pada Mat Kilau.  Begitu juga dengan Pak Him dan Mek Munah, walaupun  mereka mungkin sudah lupa akan raut wajah Mat Kilau disebabkan jarak waktu pertemuan yang agak lama tetapi mereka juga dapat mengecam tanda-tanda yang terdapat pada tubuh badan Mat Kilau itu.

 

Laporan dari Jawatankuasa Khas itu dikaji dan akhirnya dengan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang serta dengan perkenan KDYMM Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Shah, Sultan Pahang ke-4, pada 06 Ogos 1970, Tan Sri Yahaya bin Haji Mohd Seth, Menteri Besar Pahang telah mengisytiharkan secara rasmi bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau yang berjuang menentang campurtangan Inggeris di Pahang dahulu.

 

Setelah reda dengan cerita Mat Kilau, muncul pula cerita tentang seorang tua yang agak ganjil. Seorang tua yang dipercayai sudah berusia hampir 150 tahun tinggal di sebuah rumah yang disediakan oleh orang-orang kampung di Kampung Peramu, Kuantan.  

 

Oleh kerana identiti beliau tidak diketahui, orang-orang kampung memanggil beliau dengan gelaran Tok Guru Peramu sahaja. Beliau  amat tidak senang dengan pengakuan Mat Kilau itu. Beliau berkata Mat Kilau orang jahat mulut dan tak pandai simpan rahsia. Tak lama lagi dia kata Mat Kilau nak matilah sebab itulah dia mengaku diri dia.

 

Sewaktu uzur Mat Kilau pernah dibawa oleh ahli keluarganya untuk berubat dengan Tok Guru Peramu. Siapakah Tok Guru Peramu yang berani memarahi  Mat Kilau? Siapakah Tok Guru Peramu sehingga keluarga Mat Kilau membawa nya untuk berubat dengan beliau?

 

“Siapa Sebenarnya Tok Guru Peramu?” adalah sebuah buku karya Saudara Azahar Rahman yang dicetak pada tahun 1982. Saudara Azahar tinggal di Kuantan. Beliau telah membuat kajian terperinci di mana hasil kajian beliau telah membuktikan bahawa Tok Guru Peramu bukannya sembarangan orang.

 

Mohd Alhamadi bin Haji Abu Bakar, cucu Mat Kilau yang mewarisi Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau pernah berkata kepada penulis, buku karya Saudara Azahar disahkan kebenaran ceritanya oleh ayah beliau (Allahyarham) yang merupakan menantu dan anak murid kesayangan Mat Kilau.

 

Penulis banyak menemui individu- individu tertentu yang amat rapat dengan Tok Guru Peramu termasuklah Haji Abu Bakar yang pernah membawa Mat Kilau menziarahi Tok Guru Peramu.Haji Abu Bakar banyak menyimpan rahsia Mat Kilau kerana beliau menjaga Mat Kilau sehingga ke akhir hayatnya. Kisah Datuk Bahaman tidak akan lengkap jika tidak dikaitkan dengan Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mamat Kelubi dan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.

 

Datuk Bahaman merupakan seorang tokoh besar kerana beliau yang mula- mula memberontak menentang campur tangan Inggeris di Pahang. Sewaktu Bendahara Wan Ahmad memerintah Pahang, Tengku Kudin wakil kepada Sultan Abdul Samad Selangor telah datang ke Pekan, Pahang menghadap baginda. Tengku Kudin meminta bantuan daripada Bendahara Wan Ahmad untuk menentang Raja Mahdi di Selangor. Hanya kepada baginda Tengku Kudin menaruh harapan. Jika tidak mendapat sokongan dan bantuan dari Pahang berkemungkinan Tengku Kudin akan kecundang di tangan Raja Mahdi.

 

Walaupun pada awalnya baginda tidak mahu mencampuri urusan negeri orang tetapi akhirnya baginda bersetuju untuk membantu. Para panglima dan orang- orang Pahang dikumpulkan. 

 

Pada bulan Julai 1872 angkatan perang Pahang yang diketuai Imam Perang Rasu Tok Gajah mula bergerak dan berkumpul di Bentong. Pasukan Raja Mahdi telah menyerang Gombak dan menawan kampung-kampung berhampiran.  Angkatan perang Tok Gajah akan memasuki Selangor dengan seberapa segera kerana pasukan Tengku Kudin telah dikepung oleh pasukan Raja Mahdi di Bukit Nenas, Kuala Lumpur. 

 

Pertahanan yang kuat oleh pasukan Raja Mahdi tidak memudahkan tetamu luar untuk bertandang. Namun begitu Tok Gajah tetap memberi semangat agar angkatan perang Pahang terus mara ke medan juang. Beliau membawa titah Sultan dan semestinya sebagai seorang pahlawan terbilang kegagalan tidak sekali-kali akan diundang.  Apatah lagi sebagai Imam Perang yang banyak pengalaman dalam peperangan tidak mustahil beliau dapat mangalahkan pasukan Raja Mahdi.

 

 

Menurut Profesor Datuk Aripin Said seorang penulis, pengiat budaya dan penyanyi lagu-lagu rakyat negeri Pahang, sampai sahaja angkatan perang Pahang disatu tempat mereka telah menerima tentangan yang kuat daripada pasukan Raja Mahdi.  Tok Gajah mahukan angkatan perang Pahang terus mara dan tidak sekali-kali berundur. Diasak ataupun tidak mereka tidak boleh melangkah ke belakang.

 

Profesor Datuk Aripin berkata Tok Gajah telah menghunus senjata di leher orang-orang Pahang dan berkata,  “Setapak sahaja kamu semua berundur, senjata ini akan mengelar leher kamu!”  Gertakan daripada Tok Gajah itu membuatkan angkatan perang Pahang terus meluru ke arah musuh.  

 

Berlakulah serang menyerang di antara kedua belah pihak. Profesor Datuk Aripin berkata lagi tempat yang berlaku peristiwa itu dinamakan Setapak diambil daripada kata-kata Tok Gajah sehinggalah nama Setapak kekal sehingga ke hari ini. 

 

Tok Gajah bersama angkatan perang Pahang meneruskan perjalanan ke Ulu Kelang. Mereka telah berpecah kepada dua pasukan. Pasukan yang akan bergerak ke Kepong diketuai oleh Haji Muhammad Nor dan Orang Kaya Chenor. Manakala pasukan yang berjaga di Ulu Kelang di bawah pimpinan Tok Gajah sendiri. Angkatan perang Tok Gajah telah menyerang dan menawan kubu musuh di Ulu Kelang. Begitu juga dengan pasukan diketuai oleh Haji Muhammad Nor dan Orang Kaya Chenor telah berjaya menyerang Kepong.

 

BERSAMBUNG ....