NORDIN AHMAD- Ikon Purbawa Melayu

'Kajang Pak Malau Kajang Berlipat,

Kajang Saya Mengkuang Layu Dagang Pak Malau Dagang Bertempat Dagang Saya Musafir Lalu''


Itulah bait-bait dialog keramat yang dilafazkan oleh Nordin Ahmad dalam filem Sri Mersing arahan Salleh Ghani pada tahun 1961. Dialog ini seakan-akan menjadi satu trademark kepada beliau apabila merujuk kepada perkembangan penglibatannya dalam sejarah filem Melayu.

Nordin Ahmad merupakan hero filem melayu terulung.Beliau dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasirm Seberang Perai, Pulau Pinang pada 4 Ogos 1929. Nordin Ahmad merupakan anak kedua dari enam adik-beradik kepada pasangan Ahmad bin Sahak dan Che binti Md.Hashim. Bapanya bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya, Pulau Pinang, manakala ibunya menjalankan kerja-kerja kampung.


Penglibatan beliau dalam bidang lakonan bermula ketika bekerja sebagai kerani di pengkalan Tentera Udara Diraja British, Singapura pada tahun 1951. Kali pertama Nordin Ahmad menjalani ujibakat, beliau gagal apabila pengarah S. Ramanathan yang mengadili sesi uji bakat tersebut mengatakan bahawa Nordin Ahmad tidak boleh berlakon dan berdialog dengan baik. Disebabkan kegagalan tersebut beliau hanya diberi watak sampingan sahaja dalam filem Juwita (1951) sebagai anggota Polis.


Filem Semerah padi arahan P.Ramlee mengejutkan industri filem Melayu apabila lakonannya sebagai Taruna yang sangat bermutu tinggi. Nama Nordin Ahmad juga dengan sekelip mata melonjak ke tahap tertinggi sebaris dengan pelakon-pelakon utama seperti P. Ramlee, Ahmad Mahmood dan lain-lain. Siapa yang boleh melupakan lakonan Nordin Ahmad dalam filem-filem keluaran Cathay-Keris. Nordin Ahmad sentiasa berada dalam kelasnya yang tersendiri dalam memperlihatkan kewibawaannya sebagai seorang pelakon yang mempunyai daya penghayatan yang sangat tinggi. Nordin Ahmad juga dikatakan seorang pelakon yang sangat cerewet di lokasi. Menurut pengarah M.Amin, Nordin Ahmad agak lambat untuk memulakan penggambaran jika beliau belum berpuas hati dengan '"rehearsal'".


Kehebatan Nordin Ahmad sebagai pelakon menyakinkan pihak pengurusan Cathay-Keris untuk mencungkil bakatnya sebagai pengarah pula. Pada tahun 1963 Nordin Ahmad telah dilantik sebagai pengarah untuk filem pertamanya berjudul Wan Perkasa (1964). Filem sulung arahannya itu telah menempa kejayaan dan diikuti beberapa lagi filem seper Kaseh Ibu (1965), Naga Tasek Chini (1966), Playbiy (1967), Kekaseh (1968), Si Murai (1968), Nafsu Belia (1969), Keranda Berdarah ( 1969) dan yang terakhir Lobang Nuraka (1970). Walaupun Nordin Ahmad dipandang hebat sebagai seorang pelakon yang mampu menghayati setiap watak lakonannya, namun kebanyakkan pengkritik filem berpendapat beliau kurang berjaya sebagai pengarah. Ini kerana mereka menilai Nordin Ahmad dari sudut lakonan bukan pengarahan. Ada pengkritik filem pada ketika itu beranggapan bahawa Nordin Ahmad sangat condong kepada gaya pengaraham P.Ramlee.


Nordin Ahmad telah mendirikan rumahtangga dengan Salmah Ibrahim pada tahun 1952 selepas selesai penggambaran filem Permata Di-Perlimbahan. Perkahwinan mereka dikatakan bermula dari usikan rakan-rakan semasa mereka bersama-sama bekerja di Jalan Ampas. Hasil perkahwinan, mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Asmah, Norman Shah dan Hasnor. Nordin Ahmad meninggal dunia pada hari Selasa , 4:30 petang di Hospital Besar Singapura ketika berusia 42 tahun akibat penyakit demam kuning yang dideritainya beberapa bulan sebelum itu, Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam , Bedok pada keesokan harinya.


Demikianlah hilangnya sebutir bintang yang seluruh hidupnya diabadikan untuk seni.


Pena: Laila Sari

4 views

No. 6-1, Jalan 5A/6
Taman Setapak Indah 

53300 Kuala Lumpur

Tel      :  018-4044471
EMail : majalahsb@gmail.com

  • Facebook Social Icon
  • Google+ Social Icon

Website © 2020 oleh Akademi Wangsa