Mira SOYZA : Cun berbisa


LIRIK senyuman menawan dan lenggok berjalan yang menggoda. Personaliti riang dan mudah berkawan. Paling menyerlah dan membuatkan orang ingin bertanya adalah gaya rambut kerinting yang unik dan tersendiri. Bila ditanya adakah rambut ini semulajadi atau dibuat di salon. Gadis itu menjawab dengan senyuman; “Ini rambut semulajadi orang keturunan Portugis”.

Ditemui ketika berlatih di sebuah gim, lembut kerana dia seorang wanita, tetapi bila berdepan dengan penjenayah... awas!

Tendangannya mengancam dan bakal mencedera parah penjenayah yang cuba menjadikan gadis itu mangsanya. Latihan di gim itu, teknik-teknik tendangan dilakukan dengan sempurna pantas, tepat dan kuat.

Gadis itu bernama Mira Soyza. Berumur 24 tahun. Bekerja sebagai penulis di majalah antarabangsa untuk edisi Malaysia. Walaupun sibuk dalam kerjaya namun aktiviti riadah terutama dalam bidang seni beladiri tidak pernah ditinggalkan.

“Saya memang aktif bersukan dan mengamalkan senaman cara seni beladiri taekwondo sejak dari remaja lagi,” kata Mira.

Dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang. Mira mula menceburkan diri dalam disiplin taekwondo sejak berusia 14 tahun di sekolahnya di St George’s Girl School Penang. Minat terhadap seni beladiri memang menebal sejak dari kecil namun tiada peluang untuk menyertai.

Ibunya pula, kata Mira, terlalu risau jika dia tercedera ketika menyertai aktiviti sebegitu. Tambah lagi, Mira merupakan anak tunggal dalam keluarga. Namun disebabkan minat yang mendalam, Mira mendaftar ke kelas taekwondo tanpa pengetahuan keluarga. Keluarga hanya tahu setelah beberapa bulan Mira belajar dan merestui Mira belajar taekwondo.

Ternyata langkah Mira menyertai taekwondo tidak sia-sia. Tahun berikutnya Mira diserap untuk menjadi atlit kelab taekwondo untuk mewakili sekolah. Setelah prestasi yang memberansangkan dengan kemenangan. Mira bertanding peringkat daerah, seterusnya peringkat negeri dan kebangsaan. Mira mempunyai peluang untuk pergi lebih kehadapan dalam sukan taekwondo tetapi memilih untuk fokus kepada bidang lain yang diminatinya iaitu bidang penulisan.

Mira melanjutkan pengajian dalam bidang penulisan di Universiti Tunku Abdul Rahman. Latihan dan senaman taekwondo tidak pernah ditinggalkan.

“Saya akan membuat senaman regangan paling kurang setengah jam setiap pagi. Saya juga melakukan senaman regangan dengan teliti sebelum apa-apa aktiviti sukan.

“Latihan regangan amat penting untuk mengelakkan kecederaan. Namun masih ramai yang bersukan tanpa senaman regangan. Itu tidak bagus,” jelas Mira.

Disiplin taekwondo merubah hidup Mira. “Saya membesar sebagai remaja yang sihat dari segi mental dan fizikal selepas menyertai taekwondo,” akuinya.

“Waktu remaja saya sentiasa fokus untuk meningkatkan prestasi saya dalam sukan taekwondo. Saya langsung tiada ruang untuk terlibat dalam gejala negatif. Taekwondo menjadikan zaman remaja saya lebih bermakna.

“Saya juga belajar disiplin hormat-menghormati dalam taekwondo. Saya menjadi wanita yang berkeyakinan dan lebih matang hasil dari mengamalkan disiplin aliran ini,” cerita Mira tersenyum.

Mira menegaskan, bukan hanya remaja malahan wanita yang bekerjaya dan juga suri rumah juga digalakkan menyertai disiplin seni beladiri.

“Aktiviti dan senaman dari disiplin seni beladiri menjadikan tubuh badan dalam keadaan terbaik sepanjang masa. Maka wanita akan menjadi kuat dari segi fizikal dan mental.

“Apabila wanita berasa sihat dan berkeyakinan di dalam diri, maka secara semulajadi keyakinan itu akan terpancar keluar. Tiada yang lebih cantik daripada wanita yang berasa yakin tentang dirinya dari segi dalaman dan luaran.

“Seni beladiri juga mengajar wanita menjadi peka sekaligus membantu untuk menjaga diri walaupun hanya dengan pembelajaran asas seni beladiri,” katanya lagi.

Kepada kaum wanita, Mira Soyza berpesan; “Marilah bersenam, menjadi aktif dan melakukan aktiviti seperti taekwondo atau disiplin seni beladiri yang lain. Tinggalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti hanya melepak dan menonton televisyen sahaja tanpa aktiviti riadah. Marilah sertai seni beladiri untuk kesihatan dan kegembiraan,” ujar Mira bersemangat dan riang.

#MiraSoyza

103 views

No. 6-1, Jalan 5A/6
Taman Setapak Indah 

53300 Kuala Lumpur

Tel      :  017-9182983
eMail : MajalahSB@gmail.com

  • Facebook Social Icon
  • Google+ Social Icon

Website © 2020 oleh Akademi Wangsa