SEMBAH SALAM APRIL 2010
"SIKAP SAMA, PENCAPAIAN LUAR BIASA"
Pada hujung tahun 80-an, penulis menemui guru-guru tua dan mereka telah memberikan pandangan resah dengan menyatakan, apabila sudah menolak hak anugerah, bangsa akan lenyap dan akan hidup dalam dunia jahiliah! Jahiliah! Berat dakwaan itu. Namun penulis yang mengasaskan majalah PENDEKAR tidak boleh melingkarkan isu subjektif. Kini, bila renung kembali kata-kata guru yang berbicara mengenai masa depan budaya adab, ia bagaikan benar dan sudah menjadi realiti.
Benarkah kita kembali ke jahiliah? Bila membuka akhbar harian, terpapar kisah buang bayi, bunuh bayi dan bakar bayi. Perbuatan tiada berperikemanusiaan itu seperti sudah menjadi cerita biasa!
Adat dan adab bangsa mula dilupakan, ditolak dan ada perlekeh akan kewujudannya kerana mahukan hidup bebas tanpa batasan. Maka hilanglah atau bakal pupus sikap hormat, sabar dan berilmu.
Sudah terjadi, ramai pelumba F1 dijalan raya di Malaysia yang ketar kepala bila dapat stering dan ada mati katak kerana tidak cukup skil. Ini gambaran penulis dari sebutan tradisi iaitu ketar kepala bermaksud tidak sabar, dapat stering membawa erti ...bila dapat memandu dan mati katak samalah dengan kematian yang sia-sia.
Sandaran guru-guru tua terutama dari kumpulan silat itu juga berpandu kepada anak-anak muda yang makin hilang selera dan nafsu untuk mempelajari seni beladiri.
Mereka menganggap anak-anak muda 10 tahun lagi makin teruk dengan hati lembek, tiada semangat dan tidak waras. Pegangan hujah mereka kepada anak-anak muda sudah lupa perjuangan dan pengorbanan nenek-moyang mereka menentang penjajah untuk kemerdekaan.
Mereka lupa akan asal usul, ilmu yang sudah mengalir dan kemenangan dari hasil tamadun, cita-cita dan ilmu. Seperti dalam Silat Melayu, berilmu hingga bergelar Pendekar. Ertinya, menuntut hingga dilihat peribadi dari gerak hati, fizikal dan tutur seperti manusia bijak bistari. Walaupun ilmu yang dituntut mungkin tiga bulan, namun bila terus dilatih, diulangkaji dan dipecah gerak langkah, maka terjadi sampai tiada nafas, ilmu di dada pelajarannya tak habis.
Menyedari itu, Pendekar membawa erti Pandai Akal bila berdepan musuh dipendekkan akal dengan alah ilmu kerana petua, alah petua kerana rasa dan alah rasa pada Yang Tiada.
Maka itu terjadinya, yang kena tidak sedar kedatangannya manakala yang melihat tidak nampak (baca) geraknya.
Maka juga pemilik ilmu itu, sepertimana diceritakan atau diketahui, guru-guru tua bersikap resmi padi kerana sedar tanpa penafian, siapa pemilik sebenar ilmu yang dimiliki.
Sebab itu, ada guru-guru seni beladiri menyembunyikan diri, diam diri dan ada enggan dikenali sebagai guru.
Namun perangai anak-anak muda, kepada masa depan negara dan seni beladiri, dilihat sebagai pengancam dan umur seni bela-diri tradisi makin lama makin pendek.
Naluri guru-guru tua bukan bayangan. ternyata dengan pengaruh budaya luar, anak-anak muda dengan mudah dan luas tadahan tangan menyambut dan menerima kehadiran budaya dari Barat itu tanpa penapisan sewajarnya.
Guru-guru tua memberitahu walaupun bukan semua budaya Barat tidak elok, tetapi yang buruk dan liar kerana tiada kerohanian, cepat dipengaruhi dan diikuti dan dikatakan tamadun arus kini kepada mereka tetapi barbarian kepada budaya tradisi.
Menjadi ahli budaya Barat itu akan menyerlahkan perangai melawan kata ibu, menengking bapa dan menerjah orang tua. Dalam berkawan, mulut celupar dan ‘doa’ celaka kepada kawan sebagai gurauan.
Tidak dapat dinafikan, guru-guru tua seni beladiri termasuk silat dan bangsa Melayu telah diperbodoh-bodohkan oleh penjajah dengan anggap bersikap lembut dan ‘layu’. Rujuk filem Barat dan sejarah.
Penulis rujuk tulisan Khairol Anuar Masuan, Utusan Malaysia pada 6 April 2007 yang mana sejarawan Poland, Prof. Dr. Ataullah Bogdan pada mulanya berpandangan demikian tetapi bila sudah lama di Malaysia, pandangan beliau sebaliknya kagum kerana orang Melayu tidak suka berdebat dan bercakaran.
Manakala pengkaji Melayu, John Tiffany kagum cara pembinaan kapal laut, pelayar terhebat, berenang seperti ikan dan sudah mengeliling separuh dunia sebelum ditemui penjajah.
Semua itu dari ilmu Melayu yang boleh diolah, jika bersilat biar sampai menjadi Pendekar.






